SHAH ALAM – Isu tentang integriti, salah laku, pecah amanah dilihat akan dipinggirkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia berbeza dengan PRU14 lalu apabila isu berkenaan didominasi dan terdapat ungkapan yang sering dilontarkan oleh gerakan kepimpinan beberapa parti pada waktu tersebut.
"Soal penyangak, perasuah dan pencuri itu telah mempengaruhi minda, pengurusan persepsi serta emosi ketika itu.
"Tetapi hari ini saya lihat, isu itu seolah-olah terhakis dan terpinggir selepas kita berhadapan dengan fasa pasca pandemik,” katanya ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Gendang Sudah Dipalu, Apa Rakyat Mahu?’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panel dalam program ini ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Soo Wincci manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.
Sivamurugan menambah, perkara yang menjadi keutamaan dilihatnya ialah tentang adakah kepimpinan parti dan kerajaan yang dibentuk mampu untuk menangani kos sara hidup serta kejatuhan mata wang.
"Bukannya bermaksud soal integriti sudah tidak penting. Sudah pasti kalau calon-calon tercalar diletakkan semula barangkali itu akan memberikan gambaran atau mesej dan isyarat yang salah.
"Tetapi dalam konstituensi masing-masing, mereka ini adalah panglima, mereka ini adalah penghulu yang menjaga kawasan setempat sebaik mungkin. Tetapi di peringkat nasional, saya rasa parti harus menilai dan memberikan kekuatan kepada perubahan,” katanya.
Sementara itu, Sivamurugan turut beranggapan bahawa peratusan keluar mengundi dalam PRU15 kali ini akan rendah berbanding PRU14.
"Tetapi kalau nak menaikkan peratusan, daripada apa yang berada di (Pilihan Raya Negeri) Johor, Melaka, Sarawak, kita harus lihat kepada penampilan calon-calon oleh parti-parti ini.
"Jika calon ini dilihat, calon inilah yang patut kita berikan sokongan, kita harus pangkah calon ini, (maka) saya rasakan akan ada penukaran peratusan keluar mengundi,” jelasnya.
Beliau turut menggesa agar parti-parti politik mementingkan calon yang dikemukakan, isu dibawa dan tidak terlalu terikat dengan pembunuhan karakter.
"Politik kebencian harus ditukar kepada politik berkhemah dan politik moral, barulah kita mampu untuk bergerak ke hadapan,” ujarnya.