IPOH - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Beliau berkata, perkara itu tindakan pertama yang akan dilakukan sebaik diumum sebagai Perdana Menteri ke-10.
Menurutnya, pengurangan dan pemotongan gaji itu mahu dilakukan atas dasar memahami keperitan dan kepayahan rakyat yang terpaksa meneruskan hidup dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
"Biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin ALLAH pada 20 hari bulan (November) saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.
"Kerana kalau keadaan ekonomi seperti sekarang, saya tak sanggup ambil gaji Perdana Menteri. Rakyat hidup susah derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tidak terkawal dan kesihatan tidak terurus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut memberi jaminan, pengurangan gaji itu turut melibatkan ahli Kabinet kalangan menteri.
Katanya, perkara itu perlu dilakukan mengambil kira pemimpin perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat.
"Kita mesti mula dari atas, sepertimana perkataan (peribahasa) Cina, busuk ikan dari kepalanya, negara rosak kerana kepala-kepala pemimpin politiknya. Sebab itu kita kena mula dari atas.
"Jadi saya mesti buktikan pemimpin pegang amanah, membela nasib rakyat. Mesti kemukakan contoh yang baik," katanya.