CUACA tidak menentu sejak kebelakangan ini. Malah, sudah beberapa kali Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencing melibatkan beberapa buah negeri termasuk Kedah dan Perak.
Boleh dikatakan hujan turun setiap hari hampir di kebanyakan kawasan. Ketika itu, mulalah keluhan kedengaran. Segelintir orang bimbang jalan sesak hingga menyukarkan rutin harian. Ada pula risau jika berlaku banjir.
Benar, setiap yang berlaku pasti ada implikasinya. Namun, usahlah menzahirkan kerisauan sehingga membuatkan tindak-tanduk kita seolah-olah mengakui hujan itu sesuatu yang membebankan.
Sedangkan dalam Islam, fenomena alam itu sebenarnya adalah rahmat ALLAH SWT kepada hamba-Nya. ALLAH SWT berfirman menerusi kalam-Nya:"Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air” (Surah al-Anbiya’, ayat 30)
Melihat nas tersebut, jelaslah bahawa titisan ‘air langit’ itu pada asalnya turun bukanlah sebagai bala atau musibah tetapi hakikatnya ia memberi ‘nyawa’ kepada makhluk di muka bumi ini termasuk manusia, tumbuhan, haiwan dan sumber hidupan lain.
Jadi, usahlah mempamerkan riak tidak senang setiap kali hujan, apatah lagi mencelanya yang secara jelas diharamkan sama sekali dalam Islam.
Penulis teringat pesanan pendakwah, Nourul Iman Ni’amat ketika menemu bualnya sebelum ini. Beliau menjelaskan, hujan membawa 1,001 rahsia kerana terdapat di dalamnya doa-doa yang dimakbulkan ALLAH SWT.
Waktu itulah detik terbaik untuk kita berdoa kerana ia termasuk sebagai waktu mustajab. Siapa tahu apa yang dihajatkan akan dikabulkan-Nya.
Salah satu doa yang dianjurkan pada masa tersebut ialah Allahumma sayyiban nafi’an (Ya ALLAH, jadikan hujan ini hujan yang bermanfaat).
Bukan itu sahaja, terdapat dalil memerihalkan bahawa setiap titisan hujan itu ada bersamanya satu malaikat yang akan meletakkan titisan air itu pada tempatnya.
Seperkara lagi yang jarang dilakukan kebanyakan kita ketika hujan adalah membasahkan sedikit tubuh badan dengan air yang turun dari langit itu.
Walaupun kelihatan remeh, namun ulama menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah sunnah Rasulullah SAW. Tujuannya adalah demi mengambil keberkatan atas makhluk (hujan) yang baru sahaja dicipta oleh ALLAH SWT.
Meskipun begitu, jangan pula dek kerana terlalu teruja dengan fenomena alam itu, kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga dengan bencana yang mungkin terjadi akibat hujan tanpa henti.
MetMalaysia meramalkan, taburan hujan tinggi bakal melanda beberapa negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor dan barat Sarawak mulai November ini hingga awal tahun depan.
Begitu juga di kawasan pantai barat Semenanjung iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah.
Kepada mereka yang tinggal di kawasan diramalkan banjir, berwaspadalah dan bersiap siaga dengan menyimpan dokumen penting di tempat selamat.
Sentiasa peka arahan pihak berkuasa. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Ketika banjir tahun lalu yang disifatkan sebagai terburuk di Malaysia, ada cerita kurang enak didengar. Dikatakan terdapat segelintir individu yang enggan berpindah sehingga menyukarkan kerja-kerja menyelamat.
Ada sebilangan orang yang menganggap musibah itu sebagai bala. Walaupun tujuan asal hujan hujan diturunkan memberi manfaat kepada seluruh alam, tetapi jangan lupa musibah bah boleh berlaku sebagai tanda peringatan ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang lalai, ingkar dan lupa pada akhirat.
Oleh sebab itu, sama-samalah kita muhasabah dengan setiap insiden yang berlaku. Rasulullah SAW juga mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah para nabi terdahulu seperti kaum ‘Aad yang diazab dengan angin ribut.
Sebagaimana dirakamkan dalam surah al-Haqqah, ayat 6-8, kelompok berkenaan menentang dakwah dan peringatan yang dibawa Nabi Hud AS.
Tindakan itu menyebabkan ALLAH SWT murka, lantas memusnahkan mereka dengan angin ribut yang dingin, terlalu kencang dan mengerikan selama lapan hari tujuh malam.
Disebabkan itulah kita jangan terlalu gembira, leka, alpa dan seronok apabila titis hujan menyirami bumi. Ia sesuai dengan anjuran agama agar kita bersederhana dalam setiap perkara.
Justeru, sama-sama kita mengenyahkan persepsi bahawa hujan itu bukan suatu bebanan. Mengertilah, ALLAH SWT tidak menjadikan suatu perkara itu sia-sia.
*Nurulfatiha Muah ialah wartawan Sinar Islam Plus.