Jamil...Jamil...ku sangka dua rupanya tiga!

Iklan
Wanita yang juga isteri ketiga didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Selasa atas tuduhan mencederakan madunya yang juga isteri keempat dengan parang.

KETIKA membaca berita mengenai isteri ketiga dituduh mencederakan madunya yang juga isteri keempat dengan parang, tidak semena-mena Merak Jalanan teringatkan seorang rakan.

Rakan Merak Jalanan itu sedang melalui perkahwinan bermadu. Isteri ketiga, tak tahulah kalau ada yang keempat. Kebetulan pula nama suaminya Jamil, sama seperti watak dalam filem Madu Tiga.

Iklan
Iklan

Walaupun tidak bersetuju dengan keputusannya berkahwin dengan suami orang, tapi kalau sudah jodohnya, siapalah kita untuk menolak ketentuan Tuhan. Maka, berkahwinlah dia dengan si Jamil dalam satu majlis ringkas setahun lalu. Masih dalam fasa yang 'manis-manis' barangkali.

Tak pasti pula bagaimana penerimaan madu-madunya dengan ahli terbaharu dalam kelab hidup bermadu mereka itu. Okey sahaja agaknya kerana mereka tak pula 'lari' bernikah di sempadan sana.

Iklan

Kerap juga Merak Jalanan berpesan, jangan buat hal dengan madu-madunya. Tak sanggup pula kalau ada adegan tarik-tarik tudung dan dia hanya ketawa.

Katanya, biasalah hidup bermadu ada cabarannya, ada pasang surutnya, ada duka ada ketawa, ada rasa cemburu, ada ketika kalau boleh biarlah suaminya itu miliknya seorang.

Iklan

Namun, dia bersikap positif sahaja. Disebabkan suaminya ada sistem giliran, maka dia mempunyai banyak masa untuk diri sendiri, boleh balik kampung lama-lama, jika bergaduh suami boleh angkat kaki balik rumah nombor satu atau dua dan dia tak perlu stres tengok muka suami.

Merak Jalanan hanya angguk-angguk. Tak mahu mengulas panjang lebar kerana topik poligami sangat 'menyeramkan' sambil berdoa semoga suami Merak Jalanan tidak terkena tempias si Jamil.

Apatah lagi, baru-baru ini ada terbaca laporan muka depan sebuah akhbar tempatan mengatakan suami orang pilihan wanita bujang kerana dianggap lebih matang, romantik dan mampu menjadi pelindung rumah tangga. Risau!

Bagi Merak Jalanan, wanita hidup berbahagi kasih adalah insan hebat yang kuat mental, fizikal, rohani dan memiliki kesabaran tinggi.

Sesungguhnya kebahagiaan hidup bermadu itu hanya tuan badan sahaja yang mengetahuinya.