WithU Yamaha RNF buru permulaan positif di Sepang

Iklan
Razlan (tengah) bersama Crutchlow (kiri) dan Binder (kanan) semasa sesi media pasukan. - Foto Bernama

WITHU Yamaha RNF MotoGP Team tetap optimis untuk memberikan aksi terbaik setelah hampir semusim melalui fasa penuh dramatik dan mencabar, pada Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.

Prinsipal dan pemilik pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pasukan yang kini berada di kedudukan kedua terakhir berharap boleh mencipta keputusan positif di Malaysia dan perlumbaan terakhir di Valencia pada 6 November depan, bagi mengutip seberapa banyak mata pada musim ini sekali gus memastikan tidak menduduki tangga terakhir.

Iklan
Iklan

"Kembali ke Malaysia (selepas dua tahun akibat pandemik Covid-19) perasaannya berbeza kerana kali terakhir berlumba di sini adalah pada 2019, ketika itu saya masih ketua pegawai eksekutif (CEO) SIC. Pencapaian kami mungkin tidak seberapa seperti sebelumnya, tapi ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan dapat berlumba di hadapan peminat tanah air," katanya pada sesi bersama media.

WithU Yamaha RNF MotoGP Team berjaya mengumpul 33 mata untuk menduduki tangga ke-11, satu tangga di atas pasukan Tech3 KTM Factory Racing (19 mata) selepas 18 pusingan.

Iklan

Razlan mengakui pasukannya telah melalui musim pertama yang sukar terutama pelumba Itali Andrea Dovizioso, 36, yang bergelut menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha M1 sebelum memutuskan untuk bersara dari sukan permotoran bulan lepas.

"Kami memulakan musim ini bersama Dovizioso dan Darryn Binder, namun kurang bernasib baik pada musim ini yang penuh drama. Kita bermula dengan keputusan kurang baik, terutama Dovizioso.

Iklan

"Ini telah menyebabkan beliau hilang motivasi dan memutuskan untuk bersara di Misano dan kami memilih Cal Crutchlow untuk menggantikan tempatnya. Melihat kepada empat pelumba Yamaha tahun ini, hanya Fabio Quartararo berjaya melakukan sesuatu manakala Franco Morbidelli juga berdepan kesukaran,” katanya.

Razlan yang menjangkakan cabaran lebih sengit apabila mereka beralih kepada jentera Aprilia musim depan berkata, teruja untuk memulakan perjalanan baharu bersama pengeluar dari Itali itu.

"Saya agak sedih kita terpaksa berpisah dengan Yamaha kerana mereka adalah jenama besar terbaik di Asia Tenggara. Tapi pada masa sama teruja dengan kerjasama baharu bersama Aprilia yang sudah lama berbincang dengan kita tapi ketika itu mereka tidak sehebat sekarang ini,” katanya.

Aprilia kini menduduki tempat kedua dalam carta kedudukan pengeluar selepas mengutip 242 mata, 165 di belakang Ducati (407 mata) manakala Yamaha di tempat ketiga dengan 227 mata.