KLANG - Seorang individu rentung dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang terbakar di tepi Jalan Shapadu Kampung Sungai Pinang di sini awal pagi Jumaat.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.27 pagi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 5.37 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang mengalami kebakaran 100 peratus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat seorang individu turut terbakar dalam kereta tersebut.
"Terdapat seorang individu yang didapati rentung di bahagian tempat duduk pemandu.
"Identiti mangsa bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti," katanya.