MELAKA - Seramai 1,800 pegawai dan anggota polis kontinjen Melaka terlibat bagi menghadapi pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu daripada keseluruhan 2,572 anggota polis di negeri ini yang bersiap siaga untuk berdepan situasi penting.
Iklan
Iklan
Menurutnya, 250 anggota dan pegawai pula diletakkan dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk digerakkan bagi menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut.
"Cuti pegawai dan anggota juga telah dibekukan sehingga PRU selesai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 di Jalan Bendahara di sini pada malam Khamis.
Tambah beliau, pihaknya juga akan memberi tumpuan di beberapa kerusi Parlimen yang dianggap sebagai kerusi panas bagi memastikan kelancaran perjalanan PRU15 dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
"Kita akan pastikan keadaan itu berjalan dengan lancar, jadi pengundi tidak perlu bimbang untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya lagi.