IPOH - UMNO Bagan Datuk mengesahkan ketuanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi berkata, Ahmad Zahid tidak pernah menyatakan hasrat untuk melepaskan kerusi berkenaan dalam mana-mana mesyuarat UMNO di peringkat bahagian.
Menurutnya, tidak ada sebab untuk Ahmad Zahid mengundurkan diri sebagai calon bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk kerana khidmatnya masih diperlukan di kawasan itu.
"Semua peringkat UMNO Bahagian Bagan Datuk menyokong penuh dan mahu Ahmad Zahid kekal bertanding pada PRU15, ini sudah muktamad," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Khairuddin berkata, khabar angin tersebut sengaja ditimbulkan untuk mencipta persepsi tidak baik terhadap Presiden UMNO itu.
Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU kali ini.
Difahamkan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurulhidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.
Pemimpin berusia 69 tahun itu membuat keputusan besar tersebut sebagai satu pengorbanan agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU15 yang telah pun ditetapkan pada 19 November ini oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).