PUNCAK ALAM - Penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) memberi manfaat kepada usahawan bagi memperkukuhkan perniagaan masing-masing.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penganjuran itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.
"Kita dapati penganjuran program ini mencapai objektifnya apabila sasaran kita pada mulanya hanya 4,000 pengunjung, tetapi pada hari ini ia dihadiri 10,000 pengunjung," katanya pada sidang akhbar selepas KUKKM di Dataran Eco Grandeur Puncak Alam di sini pada Khamis.
Menurut beliau, program anjuran kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu turut dirancang diperluaskan ke negeri lain.
Katanya, golongan usahawan diharap dapat menggunakan peluang seperti itu untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka pada masa depan.
"Karnival seperti ini baik terutamanya kepada golongan muda untuk mereka mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif, kemudahan dan pembiayaan yang ditawarkan kerajaan," jelasnya.
Ujar beliau, golongan usahawan lebih-lebih lagi peniaga kecil menghadapi cabaran akibat Covid-19 apabila antara mereka terpaksa gulung tikar dan bergelut demi mencari sesuap nasi untuk keluarga dan anak-anak.
Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan ekonomi negara mengalami sedikit kelembapan disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.
"Kita juga diuji dengan pelbagai cabaran luaran seperti ketegangan geopolitik dan kenaikan harga komoditi global yang telah mengakibatkan inflasi.
"Jika kita imbas kembali tahun 2020 dan tahun lalu, ia memang amat perit bagi semua usahawan lebih-lebih lagi peniaga kecil untuk menghadapi cabaran Covid-19," ujar beliau.
Jelasnya, kerajaan sentiasa membantu dan memberi sokongan serta suntikan semangat kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan
Peniaga bangkit semula
Menurut Tengku Zafrul, kementeriannya merekodkan ramai penerima yang berjaya bangkit semula dengan bantuan kerajaan.
Katanya, bagi merancakkan dan membina daya tahan sektor perniagaan, kerajaan telah mencadangkan untuk menambahbaik program SemarakNiaga dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion.
Tambahnya, sejumlah RM1.7 bilion daripadanya disediakan khas sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.
"Kita mendengar dan tahu pada fasa pasca pandemik ini masih ada peniaga kecil yang sukar bangkit semula.
"Kerajaan juga bercadang memberikan geran one-off sebanyak 1,000 kepada semua syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berdaftar dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion," ujar Tengku Zafrul.
Selain itu, kerajaan juga mencadangkan agar cukai pendapatan bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus untuk sektor PMKS.
Katanya, langkah itu dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada sejumlah 150,000 pembayar cukai PMKS.
Reaksi pengunjung
"Saya teruja datang ke program ini kerana ingin mengetahui inisiatif yang disediakan kerajaan kepada golongan usahawan terutama selepas negara memasuki fasa peralihan endamik," - Jori Masikun, 67, peniaga.
"Program ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk membantu usahawan dan sebagai orang awam yang tahu serba sedikit dengan bantuan disediakan boleh menguar-uarkan kepada rakan atau keluarga yang menceburi sektor keusahawanan untuk merebut peluang disediakan," - Syed Abbas Syed Omar, 21, pekerja jualan swasta.
"Walaupun saya tidak dapat berjalan sempurna akibat kemalangan, namun saya gagahkan diri untuk hadir ke program ini dan bangkit semula dalam perniagaan lebih-lebih lagi terkesan semasa Covid-19,"- Asmak Masnor, 55, dari Puchong.
Reaksi usahawan
"Program ini memperlihatkan kesediaan kerajaan untuk membantu usahawan untuk mengembangkan lagi perniagaan," Wan Aimil Syazwan Wan Mohd Syahar, 29, usahawan Industri Kecil dan Sederhana.
"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang membantu usahawan dan saya gembira apabila menerima manfaat skim pembiayaan francaisi sweet berjumlah RM500," - Eza Suriati Zainal Abidin, 51.
"Saya sungguh terharu kerana kerajaan turut beri tumpuan kepada pengusaha Taska dengan peruntukan sebanyak RM10,000 dan ia dapat membantu kami menyediakan peralatan tambahan untuk kegunaan kanak-kanak di sini," Pengusaha Taska, Zainun Wan Ali, 49.