ARSENAL boleh menarik nafas lega apabila menghampiri slot pusingan kalah singkir saingan Liga Europa setelah menang tipis 1-0 ke atas PSV Eindhoven di Stadium Emirates pada Jumaat.
Pemain sensasi, Granit Xhaka menjadi penyelamat The Gunners apabila meledak gol tunggal pada babak kedua permainan.
Menerusi kemenangan itu skuad kendalian Mikel Arteta melebarkan jurang di puncak Kumpulan A kepada lima mata ke atas PSV.
"Tidak kisah dengan kaki mana, atau siapa yang menjaringkan gol. Ia memberikan kami keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” kata Xhaka.
Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi minggu depan, dengan The Gunners memburu satu mata untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dan mara ke kelompok 16 terakhir.
Dengan kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Eropah itu bermakna Arsenal sudah memenangi 13 daripada 14 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan musim ini.
Biarpun menguasai permainan tetapi Arsenal terpaksa menunggu sehingga minit ke-71 untuk memecah kebuntuan.
Takehiro Tomiyasu melambung bola kepada Xhaka yang meledak gol ketiganya musim ini.
Arsenal yang mendahului juara bertahan Manchester City dengan kelebihan empat mata, akan kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris menentang Southampton Ahad ini.