Final AFC: Hodak harap penamat gembira

Iklan
Hodak. Foto Bernama

KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak selesa merendah diri apabila tetap menganggap pasukannya sebagai 'underdog' biarpun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri di pentas final Piala AFC pada Sabtu.

Skuad City Boys yang menggalas misi besar untuk memahat sejarah akan berdepan kelab Oman, Al Seeb di pentas akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Iklan
Iklan

Meskipun pasukannya bukan pilihan berbanding Al Seeb, jauh di sudut hati Hodak mengharapkan penamat yang menggembirakan dapat dilakukan anak buahnya pada perlawanan akhir itu.

Malah, pengendali dari Croatia itu berkata, kejayaan skuadnya melangkah ke final Piala AFC juga seperti mimpi menjadi kenyataan kerana tidak meletakkan sasaran tinggi pada awal kejohanan tersebut.

Iklan

"Kami tidak jangka boleh mara hingga ke final kerana pada awalnya kami hanya menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan.

"Kemenangan ketika berdepan kelab Vietnam, Viettel (di separuh akhir Zon ASEAN) membuka peluang kepada kami dan saya harap kami dapat melakar penamat yang gembira.

Iklan

"Oman mempunyai bola sepak yang bagus, ranking mereka lebih baik dari Malaysia.

"Mungkin ada kelebihan kami bermain di tempat sendiri, tapi saya masih anggap kami pasukan underdog dan ini bola sepak, aksi 90 minit yang akan jadi penentu,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Skuad City Boys selangkah untuk menyamai pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT) yang muncul pasukan ASEAN pertama menjuarai Piala AFC pada 2015.

Dalam pada itu, Hodak turut memberi bayangan bahawa pemainnya akan berdepan tugas sukar selepas menganggap Al Seeb memiliki kekuatan di semua bahagian.

"Al Seeb pasukan yang bagus, saya percaya mereka juga ada pengalaman beraksi di stadium penuh. Apa yang penting kami akan cuba kurangkan kesilapan dalam perlawanan itu,” katanya.