Murid Tahun Lima maut dihempap besi tiang gol

Iklan
Orang ramai membantu mangsa dalam kejadian murid Tahun Lima maut dihempap besi tiang gol dalam kejadian di padang bola Pekan Manggatal pada Khamis. -Foto: Media sosial, gambar kecil: Mohd Zaidi


KOTA KINABALU - Seorang murid Tahun Lima maut dihempap besi tiang gol dalam kejadian di padang bola Pekan Manggatal di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari, mangsa lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika kejadian bapa mangsa yang juga pengadu berada di lokasi untuk melihat aktiviti sukan tahunan sekolah.

"Guru yang berada di lokasi telah menghubungi talian kecemasan 999 dan anak pengadu dihantar ke Hospital Likas dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia kerana kecederaan di kepala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Kematian mangsa dipercayai berpunca akibat kemalangan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan," ujarnya.