MTTNP institusi lahirkan ulama ilmu Turath

Iklan
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Wan Rosdy (dua dari kiri), Sallehuddin (kanan) dan Mahmud (kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks MTTNP, Balok di sini pada Jumaat.

KUANTAN - Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang diwujudkan melalui kolaborasi pintar antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Yayasan Pahang merupakan sebuah institusi melahirkan ulama ilmu Turath negara ini.

Institusi yang mula beroperasi pada 2020 itu memfokuskan kepada pengajian kitab kuning atau kitab klasik yang ditulis ulama muktabar seperti Imam Syafi'e, Imam Nawawi dan Imam Al-Ghazali meliputi pengajian kitab fiqah, aqidah, tasawuf dan bahasa Arab.

Iklan
Iklan

Yayasan Pahang dalam kenyataannya berkata, kaedah pembelajaran di maahad tahfiz itu diberi nafas baru menggunakan pendekatan moden namun masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam sanad keilmuan, tarbiah dan adab sistem pengajiannya.

Menurutnya, selain pengajian kitab Turath, pelajar juga disasarkan menghafaz 30 juzuk al-Quran serta cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Iklan

"Kompleks MTTNP yang terletak di Perkampungan Balok Baru, di sini dahulunya tapak sebuah resort yang diambil alih PKPP pada 2015.

"PKPP memainkan peranan besar dalam penubuhan MTTNP apabila menyediakan tanah seluas 1.2 hektar dan melaksanakan pengubahsuaian bangunan dengan kos RM10 juta selain geran RM700,000 setahun manakala Yayasan Pahang bertanggungjawab dalam pengoperasian dan biasiswa pelajar," jelasnya.

Iklan

Kompleks MTTNP dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis perasmian itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Yayasan Pahang.menjelaskan sehingga kini, lebih RM5 juta telah dibelanjakan dengan peruntukan RM2.5 juta setahun untuk maahad tahfiz itu.

"Kompleks MTTNP boleh menampung 125 pelajar pada satu-satu masa untuk fasa pertama manakala fasa kedua yang akan bermula pada tahun 2023 boleh menampung sehingga 300 pelajar," jelasnya.

Menurut kenyataan itu, MTTNP kini dalam proses mendapatkan muadalah (akreditasi) dengan universiti-universiti Timur Tengah antaranya Mesir, Jordan, Morocco, Arab Saudi.

"Walaupun masih baru, MTTNP telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Dalam aspek hafazan, seramai 45 pelajar berjaya dalam ujian syahadah dengan 24 juzuk al-Quran manakala sembilan pelajar khatam 30 juzuk," ujarnya.

Jelasnya lagi, MTTNP diharap mampu melahirkan hafiz al-Quran yang menguasai kitab Turath secara teori, amali dan mampu berada dalam arus perdana bagi memimpin masyarakat.

"Kerajaan negeri Pahang melalui Yayasan Pahang kini menyediakan akses lengkap pendidikan tahfiz untuk anak-anak Pahang bermula dengan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP)," katanya.