LIPIS - Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM) Kuala Lipis yang menelan belanja RM3.11 juta dan menyediakan 58 lot niaga dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2023.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dengan adanya PTKM ini, usahawan tani tidak perlu bimbang faktor cuaca, isu pemindahan tapak pasar tani atau pasar tani ditutup disebabkan oleh faktor pembangunan setempat.
Menurutnya, malah jumlah urus niaga usahawan tani akan meningkat seterusnya melonjak pendapatan mereka.
"Ia juga dapat mengurangkan masalah pemasaran hasil-hasil pertanian.
"PTKM kini sudah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat kita. Ia menjadi rutin hidup mingguan atau bulanan terutamanya bagi kaum ibu untuk membeli barangan segar serta keperluan dapur untuk keluarga masing-masing," katanya sempena majlis pecah tanah tapak pasar tersebut di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Rosilawati Abu Hassan dan Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pertukaran nama Pasar Tani Kekal (PTK) kepada PTKM semasa ucapannya dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Sembilan pada 8 Oktober lalu.
PTKM bertujuan untuk mewujudkan ruang pasaran kepada petani dan usahawan bagi memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pengguna di bawah tapak yang kekal.
Sehingga kini, terdapat 36 buah lokasi PTK di seluruh negara yang beroperasi dengan melibatkan implikasi kewangan keseluruhan pembinaan berjumlah RM152.97 juta.
Seramai 2,323 peserta PTKM telah mendapat manfaat dalam menjalankan perniagaan di bawah PTKM dan pencapaian nilai jualan PTKM sehingga September 2022 telah mencatatkan RM175 juta.
Untuk rekod, lima buah PTKM masih dalam pembinaan iaitu di Seberang Jaya, Kuala Kangsar, Putrajaya, Kuala Lipis dan Cameron Highland.