[DIKEMAS KINI] PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat hari lahir buat legenda badminton negara sempena ulang tahun kelahiran ke-40 pada Jumaat.
"'Happy birthday' (selamat hari lahir) legenda badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei," ucap Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook beliau.
Ismail Sabri dan bekas pemain nombor satu dunia itu sangat rapat sejak mula menyandang jawatan selaku Menteri Belia dan Sukan pada 2008.
"Secara peribadi, Chong Wei dan keluarganya akrab dengan saya dan keluarga sejak saya menjadi Menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” tulisnya
Malah Perdana Menteri turut menyifatkan Chong Wei sebagai seorang legenda badminton yang menjulang nama negara ke persada dunia.
"Antara kejayaan beliau termasuk membawa pulang pingat perak pertama Olimpik Malaysia pada kejohanan di Beijing 2008 dan menjadi Pemain No 1 dunia,” katanya.
Ismail Sabri juga mengakui bekas pemain kelahiran Bagan Serai, Perak itu tetap memberi sumbangan terutama dalam arena sukan badminton negara biarpun sudah bersara sejak tiga tahun yang lalu.
"Walaupun sudah bersara, namun sumbangan beliau tidak pernah terhenti dan masih setia berbakti kepada dunia badminton negara.
"Selamat ulang tahun, Chong Wei! Semoga terus berjaya!,” tulisnya.