JDT tumpas 1-2 kepada Shandong Luneng

Iklan

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan sukar untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019 selepas tumpas 1-2 kepada Shandong Luneng dalam aksi Kumpulan E di Pusat Sukan Olimpik Jinang di China, malam ini.

Kekalahan itu adalah kedua buat pasukan bimbingan Benjamin Mora selepas tewas 1-2 kepada kelab dari Jepun, Kashima Antlers dalam aksi pembukaan kumpulan berkenaan, Mac lepas.

Iklan
Iklan

Keputusan malam ini juga menyaksikan JDT kekal di tangga tercorot Kumpulan E dengan mengutip satu mata selepas tiga perlawanan, empat mata di belakang Shandong Luneng yang menduduki tempat kedua dan ketinggalan enam mata daripada pendahulu, Kashima Antlers.

Shandong Luneng yang merupakan pasukan pilihan, memulakan aksi dengan lebih tersusun dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi pemain antarabangsa Belgium Marouane Fellaini, namun pemain tengah berusia 31 tahun itu gagal melakukan penyudah sempurna.

Iklan

Bekas bintang Manchester United itu, bagaimanapun berjaya menebus kekecewaan pada minit ke-30 melalui tandukan menarik dalam kawasan penalti untuk menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang JDT, Mohd Farizal Marlias.

Shandong Luneng yang kini menghuni tangga keempat dalam saingan Liga Super China (CSL) menggandakan jaringan pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti Granziano Pelle selepas pemain pertahanan JDT Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Iklan

Pada babak kedua perlawanan, skuad Harimau Selatan mempamerkan permainan lebih kemas dalam usaha memburu gol.

Tonggak utama skuad bawah 23 tahun negara, Muhammad Safawi Rasid berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-59 apabila menjaringkan gol dari jarak 40 meter untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Wang Dalei.

Terdahulu, JDT memperoleh peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-47 melalui Muhammad Nazmi Faiz, namun rembatannya dari jarak jauh tepat ke penjaga gol Shandong Luneng. - Bernama