Peja akan pertahan Parlimen Tambun

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu, sebagai anak jati Tambun, kawasan tersebut perlu dipertahankan dan dimenangi kembali.

Iklan
Iklan

"Saya dan rakan-rakan sukarelawan serta pendokong PN Tambun merupakan anak jati Parlimen Tambun. Maka kami beranggapan adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan untuk terus berkhidmat di halaman sendiri.

"Atas prinsip dan semangat demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Iklan

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut berharap kempen pada PRU kali ini berjalan dengan telus dan adil seterusnya memberi manfaat kepada pengundi di Tambun.

Pada malam Khamis, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ini.

Iklan

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh.

Pada PRU14 lepas, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).

Bersatu yang kini bersama Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menerusi kerjasama dalam PN berkemungkinan besar mengekalkan bekas Menteri Besar Perak itu bertanding di kerusi sama untuk mempertahankan kemenangan.