SHAH ALAM - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan produk inovasi yang dikenali sebagai ‘Motorcycle Object Detection’ bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal.
Produk itu dicipta empat pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) yang dibimbing Pensyarah Kanannya, Dr Suhaila Mohd Najib dan seorang lagi pensyarah, Siti Nur Suhaila Mirin.
Menurut Suhaila, alat yang dicipta itu berfungsi mengesan kehadiran objek dari arah bertentangan yang memasuki ‘Region of Interest’ penunggang motosikal dan memberi amaran kepada mereka.
Jelasnya, ia sekali gus dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh faktor perlanggaran dengan objek statik yang berada di atas jalan raya.
"Pengesanan objek yang dilakukan oleh sistem kawalan utama akan mengaktifkan sistem amaran bunyi melalui fon telinga yang terdapat di dalam topi keledar dan juga lampu amaran yang dipasang pada hendal motosikal.
"Selain itu, aplikasi Android yang dikenali sebagai ‘hermes’ juga telah dibangunkan bagi memudahkan penunggang motosikal mengawal kekuatan amaran bunyi dan juga kecerahan lampu amaran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, ketua kumpulan pelajar yang membangunkan produk berkenaan, Ahmad Irfan Harman berkata, produk ini dibina dengan mengaplikasikan teknologi pembelajaran mendalam bagi mengesan beberapa objek statik yang telah dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan faktor kemalangan penunggang motosikal.
Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan produk tersebut, Ahmad Irfan yang juga pelajar tahun empat program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Komputer (Sistem Komputer) berkata, ia membabitkan aspek melatih sistem supaya dapat mengesan objek yang dikenal pasti menyumbang kepada faktor kemalangan jalan raya oleh penunggang motosikal secara tepat dan jitu.
Ulasnya lagi, getaran yang terhasil daripada gerakan motosikal menyebabkan gambar yang diambil kabur juga merupakan salah satu cabaran bagi meningkatkan pengesanan objek secara tepat.
Selain Ahmad Irfan, tiga lagi ahli kumpulan itu adalah Muhammad Qarl Farisz Mohd Rahimi, 23; Nurnajihah Hazirah Binti Azhari, 21, dan Muhammad Daniel Bin Rahim, 23, yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri & Robotik) dengan Kepujian.