Amirudin melawat tapak pameran pada majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam yang diadakan di Galeri Batu Arang.
GOMBAK - Kira-kira 40,000 warga Selangor menyertai Skim Insuran Am Selangor (Insan) dalam tempoh 21 hari selepas diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika Hari Kemerdekaan peringkat negeri 30 Ogos lepas.
Menteri Besar berkata, inisiatif perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI ditawarkan kepada individu berusia seawal 30 hari hingga 80 tahun.
Menurut Amirudin, skim Insan akan dilancarkan secara rasminya pada siri Jelajah Selangor Penyayang Daerah Klang yang akan diadakan pada 23 Oktober di Stadium Sultan Suleiman yang berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini.
"Insan adalah skim insuran yang kita tawarkan kepada penduduk di seluruh negeri Selangor dari umur (seawal) 30 hari sehingga 80 tahun dan pada Ahad adalah pelancaran rasminya walaupun sekarang sudah boleh daftar.
"Setakat hari ini (Jumaat) hampir 40,000 mendaftar dan kita mempunyai sasaran yang besar sehingga hujung tahun dan awal tahun depan iaitu sehingga satu juta atau dua juta penyertaan (pendaftaran).
AMIRUDIN
Iklan
"Sejak 1 Oktober, baru 21 hari sudah 40,000 orang mendaftar dan ini agak baik kerana kita sasarkan pada peringkat awal hanya 1,000 sehari, tapi sekarang lebih, hingga 2,000 sehari namun ia belum dilancarkan secara rasmi," katanya.
Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Pendengaran Awam Bagi Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Batu Arang 2030 di Gelari Batu Arang di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Yazid Sairi.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor akan terus meningkatkan kemudahan dan akses pendaftaran menerusi skim Insan agar warga Selangor mendapat manfaat dan inisiatif yang ditawarkan.
Amirudin bersama Mohd Yazid dan Sze Han melihat buku Laporan Draf pada Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam di Galeri Batu Arang.
Iklan
"Dari semasa ke semasa kita akan tingkatkan dan dalam Belanjawan Selangor 2023 nanti kita akan turut menawarkan sesuatu dalam skim Insan ini dan kita akan menaik taraf berdasarkan maklumat awal yang ada sekarang," katanya.
Program Insan diumumkan Amirudin ketika sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri pada 30 Ogos lepas, sebagai salah satu inisiatif meringankan beban mereka yang dihimpit masalah.
Setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis, yang dijangka memanfaatkan enam juta rakyat Selangor.
Dalam pada itu, pelbagai pengisian menarik bakal diadakan pada program JSP di Klang antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Klang menawarkan pengecualian fi tunggakan bagi cukai tanah Daerah Klang sempena program berkenaan.
Selain itu, pelbagai pertandingan dianjurkan di setiap peringkat usia antaranya pertandingan e-sport, mewarna, paintball, futsal, gusti lengan dan juga persembahan artis jemputan serta cabutan bertuah.
Amirudin melawat tapak pameran pada majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam yang diadakan di Galeri Batu Arang.
Sementara itu, mengenai Pelancaran Program Publisiti dan Pendengaran Awam Bagi Draf RKK Bandar Batu Arang 2030, Menteri Besar berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mengalu-alukan konsep perancangan bersama rakyat.
"Secara prinsipnya, RKK Bandar Baru Arang 2030 mempunyai strategi pengurusan dan pelan tindakan untuk memulihara dan melindungi nilai-nilai keunggulan sejagat tapak warisan kebangsaan.
"Saya percaya, seperti semua sedia maklum bahawa penyediaan RKK ini turut terlibat dalam pembentukan Kajian Geopark Gombak- Hulu Langat, Selangor (GHL Geopark) dijalankan PlanMalaysia @Selangor bagi memastikan aset sejarah dan warisan ini terpelihara selaras dengan pelaksanaan rancangan pembangunan dibentuk di peringkat negeri.
"Selain daripada pembangunan RKK, perlindungan tapak-tapak warisan dan sejarah di Batu Arang juga turut diperkukuhkan melalui pewartaan tapak-tapak warisan melalui Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)," katanya.
Amirudin berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa RKK Bandar Batu Arang 2030 telah membentuk 49 projek berupa tindakan iaitu sebanyak 11 projek berimpak tinggi, 21 projek sokongan dan 17 projek 'quick win' dicadangkan.
Poster Jelajah Selangor Penyayang
"Projek-projek ini merupakan projek strategik memberi impak jangka panjang kepada pembentukan dan pertumbuhan ekonomi di daerah Gombak dan bagi projek-projek 'quick win' adalah projek yang mempunyai manfaat dan boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri meletakkan komitmen sepenuhnya kepada setiap inci kawasan dan lokaliti di negeri Selangor kerana kita ingin melihat bahawa pembangunan serta pertumbuhan di Selangor tidak hanya tertumpu di bandar-bandar sahaja, tetapi turut melihat segenap inci kawasan dan lokaliti
seluruh negeri dengan mengenal pasti potensi-potensi yang sedia wujud di kawasan dan lokaliti berkenaan," katanya.