Peluang kontraktor muda bersaing

Iklan
Para peserta yang mengambil bahgaian dalam program ACE kelolaan CIDB.

CIDB sedia latihan kompetensi, ilmu pengurusan perniagaan dan projek pembinaan

Para peserta yang mengambil bahgaian dalam program ACE kelolaan CIDB.

KUALA LUMPUR – Biarpun hampir semua sektor industri terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020 lalu, pada hari ini, ekonomi semakin berkembang pesat ekoran mendapat permintaan yang menggalakkan.

Iklan
Iklan

Sektor pembinaan misalnya, kini kembali rancak dengan permintaan yang semakin memberangsangkan setelah kerajaan membenarkan industri berkenaan kembali beroperasi.

Bagi seorang kontraktor kelas G1, Mohamad Asrul Ramly, 30, pandemik Covid-19 yang melanda telah memberi ilham kepadanya untuk membuka sebuah syarikat pembinaan sendiri selepas melihat permintaan dalam industri itu semakin meningkat.

Iklan

Pengarah Urusan Zavier Synergy itu mengakui mendapat beberapa permintaan untuk melakukan pengubahsuaian kediaman selain turut diberi peluang menjalankan projek pembinaan oleh sebuah agensi kerajaan.

"Ketika ramai kontraktor dikatakan tidak memperbaharui lesen, saya melihat situasi ini dengan perspektif berbeza. Saya mengambil peluang untuk saya buka syarikat waktu itu kerana penawaran kurang tetapi permintaan banyak. Alhamdulillah, banyak projek pembinaan serta pengubahsuaian yang saya dapat secara berterusan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

MOHAMAD ASRUL

Iklan

Mohamad Asrul merupakan salah seorang peserta program Accelerator Programme For Construction Entrepreneurs (ACE) kelolaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan pembiayaan Kemneterian Kewangan (MOF).

Objektif program ACE ini adalah untuk membantu meningkatkan keberdayasaingan golongan usahawan pembinaan belia atau kontraktor belia Bumiputera dari gred G1 hingga G4. Menerusi program ini, CIDB menyediakan latihan komprehensif berstruktur yang meningkatkan kompetensi dan pengetahuan dalam pelbagai kemahiran teknikal pembinaan. Selain itu, peserta juga diberi latihan dalam meningkatkan jati diri, motivasi, pengetahuan keusahawanan serta pengurusan projek.

"Industri pembinaan mempunyai banyak persaingan dan untuk bersaing dengan syarikat yang sudah lama dalam bidang ini, saya perlu ada rangkaian dan strategi pemasaran yang baik. Kalau tiada kedua-duanya, saya akan kekal di tahap sama sahaja.

"Menerusi program ACE, saya diajar untuk meneroka pengalaman dan pengetahuan selain belajar membina rangkaian, menguruskan strategi pemasaran dengan berkesan di samping menguruskan kewangan syarikat dan integriti dalaman,” ujarnya.

Bina keyakinan

ZAID FIKRI


Sementara itu, kontraktor kelas G4, Zaid Fikri Zainal Rashid, 33, mengakui kursus yang ditawarkan dalam program ACE mampu membina keyakinannya untuk meluaskan skop pasaran sedia ada.

Jika sebelum ini syarikat pembinaan miliknya, Zaid Zainal Enterprise hanya memberi tumpuan kepada pelanggan di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka, namun kini beliau lebih yakin untuk meneroka pasaran di negeri lain.

"Selama ini kemampuan saya terbatas, tidak berani nak ambil tender kerajaan, rasa tak mampu sebab perlu bersaing dengan pemain industri yang lebih besar. Apabila sertai program ACE, ada pembelajaran secara berterusan yang mengajar cara untuk meningkatkan peluang kita memenangi tender dan sebagainya.

"Selain itu, jika terpilih sebagai peserta cemerlang di dalam program ACE, kami akan dianugerahkan dengan satu projek oleh MOF. Jadi ini adalah peluang terbaik saya untuk menembusi tender projek kerajaan, menaikkan nama syarikat sekali gus membina reputasi,” jelasnya.

Mengenai perancangan selepas tamat program ACE pada Oktober nanti, Zaid Fikri berkata, pihaknya akan memperbaiki beberapa kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti dalam pengurusan syarikat.

"Saya akan perbaiki sistem kewangan dan dokumentasi kerana ada beberapa perkara yang tidak lengkap. Jadi, apabila semuanya sudah lengkap dan teratur, saya akan cuba sertai tender kerajaan dengan lebih yakin,” katanya.

Kontraktor G4, Mohd Tarmizee Mahmud, 37, sudahpun mempunyai pengalaman lebih 10 tahun di dalam bidang pembinaan, namun beliau mengakui banyak ilmu baharu diperolehi melalui program ACE yang boleh digunakan.

MOHD TARMIZEE

"Kami akan menjalani latihan on-job-training di tapak projek di hujung program nanti bagi memberi pendedahan kepada pengurusan projek sebenar dan melihat bagaimana kita aplikasikan kemahiran yang diajar.

"Walaupun apa yang diajar dalam program ACE merupakan perkara asas dalam bidang pembinaan tetapi dari segi pengurusan syarikat dan kewangan, saya belajar perkara ini lebih teliti sekali gus dapat menambahbaik untuk syarikat di masa akan datang,” katanya.

Ketika ditanya samada benar kontraktor Bumiputera berisiko gulung tikar jika tidak diberi kontrak kerajaan, beliau menerangkan bahawa di dalam apa-apa perniagaan sekalipun, seseorang usahawan perlu mempelbagaikan segmen pasaran.

"Pada pandangan saya, kita harus lebih kreatif dalam memasarkan bisnes kita. Kita tidak boleh hanya fokus kepada satu segmen sahaja. Sekiranya tidak dapat kontrak kerajaan, kita tidak seharusnya berputus asa dan sepatutnya terus mencuba. Pada masa yang sama kita perlu mencari segmen-segmen lain seperti kontrak individu, sektor swasta dan juga sektor GLC (syarikat milik kerajaan).”

Untuk maklumat lanjut mengenai program ACE, sila layari Aceprogramme.my