PRU15: KDM bergerak solo, tanding guna logo Rafflesia

Iklan
Peter (tengah) bersama Wetrom (kiri) dan Winston (kanan) sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kota Marudu dan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, KDM akan bergerak solo dalam PRU15 berikutan partinya sehingga kini belum diterima oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Iklan
Iklan

"Mungkin semua maklum di peringkat kita belum mendapatkan hitam putih sama ada diterima atau tidak (GRS) tetapi di peringkat parti ini, pembubaran sudah berlaku bererti perjuangan di peringkat parti kena teruskan dan kita perlu bersedia untuk menghadapi PRU15.

"Kalau lihat pada ketika ini, kita terpaksa lakukan sedemikan kerana tidak ada hitam putih pihak GRS, maka kita akan bergerak solo dalam PRU15 ini," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Solidariti KDM di Dewan Hakka, Likas di sini pada malam Jumaat.

Iklan

Ditanya mengenai hubungan dengan GRS, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, walaupun KDM bertanding di peringkat Parlimen, namun parti itu masih menyokong kepimpinan kerajaan Datuk Seri Hajiji Noor.

"Di peringkat kerajaan negeri, kita menyokong kepimpinan Ketua Menteri kerana percaya di peringkat negeri belum ada Ketua Menteri yang boleh menggantikan beliau di peringkat Sabah.

Iklan

"Tetapi di peringkat Persekutuan pula, ini adalah Parlimen yang akan menentukan kerajaan Persekutuan, jadi kita membuat ketetapan untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen di seluruh Sabah," katanya.

Beliau memaklumkan, KDM akan bertanding di Parlimen Kota Marudu dan Kota Kinabalu selain memberi gambaran akan meletakkan calon di beberapa kerusi Parlimen lain termasuk Tenom dan Papar.

"Kita umumkan Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong sebagai calon yang akan mewakili KDM di Kota Kinabalu.

"Saya juga percaya Datuk Wetrom masuk KDM kerana mempunyai perjuangan atau matlamat seperti yang ada dalam KDM jadi sudah pasti beliau akan turun bertanding di Kota Marudu," katanya.

Peter berkata, KDM akan bertanding menggunakan logo bunga Rafflesia pada PRU15.