Sisi pemusnah Bergson persis Lewandowski

Iklan
Bergson (kiri) - Foto Johor Southern Tigers

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva disifatkan bukan sahaja mencipta rekod baharu selaku penjaring terbanyak sepanjang penganjuran Liga Super, sebaliknya juga merupakan penyerang import terbaik dalam sejarah Liga Malaysia (Liga-M), menurut bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam.

Malah penganalisis Liga-M mengakui kehebatan dimiliki Bergson belum pernah dilihat dalam saingan liga negara ini sambil menyifatkan penyerang dari Brazil itu punyai pakej yang sempurna sebagai pemusnah benteng terakhir lawan.

Iklan
Iklan

"Bukan bermaksud menafikan kehebatan penyerang yang pernah mencipta nama di Liga-M sebelum ini tetapi saya melihat Bergson sebagai penyerang yang berada dalam kelas tersendiri.

"Sebelum ini dalam Liga-M kita ada ramai penyerang sebelum ini seperti Philimon Chepita (Perlis), Keita Mandjou (Perak) dan Marlon Alex James (Kedah) tetapi bukan Bergson.

Iklan

"Jumlah jaringan sebanyak 29 itu membuktikan betapa tajamnya dia selaku penyerang malah dia ada pakej lengkap dalam melakukan tindakan penyudah," jelas Shahrom.

Kata Shahrom, kekuatan Bergson bukan sahaja menerusi sentuhan kaki kiri tetapi juga kaki kanan dan kepala semasa di padang.

Iklan

"Semua tempat dia boleh malah boleh menjaringkan gol daripada aksi akrobatik.

"Uniknya Bergson ini, dia bukannya penyerang ‘false 9’ atau ‘centre forward’ tetapi dia boleh dikatakan penyerang nombor 9 yang sempurna seperti Robert Lewandowski.

"Jika masa saya sebagai pemain dulu, mungkin ramai pasukan inginkan penyerang yang punyai kekuatan fizikal persis Dickson Nwakaeme, namun Bergson menunjukkan di sisi yang sangat berbeza kerana dia sangat pantas serta menjadi mimpi ngeri kepada semua pertahanan di Liga Super,” katanya.

Selain Bergson yang berada dalam pilihan Best XI Liga Super 2022, Shahrom turut memilih Arif Aiman Hanapi (JDT) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) melengkapkan trio serangan dalam formasi 4-3-3.

Bagi posisi tengah, beliau memilih Park Tae-su (Sabah FC), Petrus Shitembi (Terengganu FC) dan Leandro Velazquez (JDT) sementara barisan pertahanan terdiri daripada La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies (JDT), Pape Diakite (Terengganu FC) dan Ahmad Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC) serta Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC) untuk penjaga gol.

Shahrom turut menyentuh pemilihan Pape Diakite yang memberikan banyak kestabilan di bahagian pertahanan kepada Terengganu FC (TFC) bagi saingan musim ini.

"Terengganu pada musim lalu baik dari segi serangan tetapi mereka ada masalah di bahagian pertahanan yang tidak berapa menjadi.

"Bahagian pertahanan tengah banyak dipertaruhkan kepada dua pemain tempatan iaitu Shahrul Nizam dan Muhammad Mohd Faudzi namun persembahan mereka tidak konsisten.

"Tetapi dengan kehadiran Diakite, persembahan mereka lebih seimbang dan sumbangan dia sangat dirasai dalam memastikan benteng boleh kekal berdisiplin sepanjang perlawanan,” katanya.