Calon luar dijangka diketengahkan BN Johor

Iklan
Hasni (tengah) beramah mesra dengan ahli koperasi selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian pada Sabtu.

PONTIAN - BN Johor dijangka meletakkan sekurang-kurangnya tiga atau empat calon luar di beberapa kawasan parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, calon luar tersebut merujuk kepada calon yang bertanding di kawasan parlimen berbeza daripada kawasan asal berkhidmat dan mengundi.

Iklan
Iklan

Katanya, calon luar yang berpengalaman itu didatangkan ke kawasan parlimen tersebut bagi memastikan kemenangan dan keperluan masa depan parti.

"Memang terdapat kemungkinan calon yang diketengahkan tidak mengira kawasan yang mereka wakili sebelum ini. Mungkin negeri lain tidak terlibat, tetapi di Johor, saya melihat BN negeri perlu senaraikan calon yang terbaik.

Iklan

"Pada waktu ini, saya diberi gambaran tiga atau empat kawasan parlimen di negeri ini terlibat dalam pertimbangan bagi calon luar," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian di sini pada Sabtu.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata penilaian calon-calon juga mengambil kira faktor mereka yang berpengalaman, mempunyai potensi masa hadapan dan menyumbang kepada kemenangan parti.

Iklan

Selain itu Hasni turut menegaskan, BN Johor tetap memberi keutamaan kepada calon muka baharu yang akan diketengahkan bertanding di 26 kawasan parlimen di negeri ini.

"Memandangkan permintaan akar umbi yang mahukan calon muka baharu, BN Johor akan tampilkan sebanyak 60 peratus calon muka baharu, termasuk 30 peratus kuota calon wanita pada PRU15.

"BN Johor tiada masalah untuk kenal pasti calon muka baharu kerana bagi saya calon muka baharu ini dalam erti kata lain merupakan mereka yang telah banyak memberikan sumbangan kepada kerja-kerja di dalam parti dan masyarakat," katanya yang merupakan ADUN Benut.

Justeru itu, Hasni yang juga bekas Menteri Besar berharap senarai nama calon yang akan diumumkan kelak diterima setiap bahagian dan seterusnya dapat mengatur gerak kerja PRU15 supaya memperoleh kemenangan.