KEENGGANAN Cristiano Ronaldo dimasukkan sebagai pemain gantian menjadi punca menyebabkan bintang The Red Devils berprofil tinggi itu melakukan protes meninggalkan pasukannya ketika perlawanan Manchester United menentang Tottenham Hotspur berbaki beberapa minit ditamatkan pada Khamis.
"Ya," jawab ten Hag ketika ditanya sama ada Ronaldo enggan masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan yang menyaksikan Manchester United mengatasi Tottenham Hotspur 2-0 di Stadium Old Trafford.
"Kami ada nilai dan standard dalam pasukan, sebagai pengurus saya bertanggungjawab terhadap budaya kelab serta harus mengawalnya.
"Ada masa sesuatu tindak balas untuknya, tetapi ia juga untuk semua orang. Bola sepak sukan berpasukan dan anda perlu memenuhi standard tertentu. Saya yang mengawalnya," ujar ten Hag mengesahkan pemain berusia 37 tahun itu tidak berlatih bersama pasukan utama selepas insiden tersebut.
Insiden pada Khamis itu juga bukan kali pertama melibatkan bekas bintang Juventus, Real Madrid dan Sporting Lisbon selepas berbuat demikian ketika berdepan Rayo Vallecano dalam perlawanan pramusim sebelum ini.
Biarpun begitu tegas ten Hag, tindakan terhadap Ronaldo bukan pengakhiran buat ikon The Red Devils tersebut bersama Manchester United.
"Sebelum ini saya beritahunya bahawa tindakan selepas perlawanan dengan Vallecano sesuatu yang tidak boleh diterima. Ini kali kedua dan berlanjutan, ya kami kehilangannya berdepan Chelsea.
"Sejujurnya satu kehilangan buat pasukan, tetapi sebenarnya amat penting untuk sikap dan mentaliti pasukan. Saya terbuka untuk itu dan bagi saya tindakan Ronaldo merupakan satu protes. Biarpun begitu dia masih kekal pemain penting Manchester United dan saya mengharapkannya sepanjang musim ini," jelas ten Hag.