PONTIAN - Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN sama ada kekal bertanding di Parlimen Tanjung Piai atau sebaliknya.
Jeck Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, desas desus yang timbul berhubung kedudukannya hanya akan terjawab pada hari BN Johor mengumumkan calon sebelum hari penamaan pada 5 November nanti.
"Saya akur dengan segala keputusan yang bakal diumumkan oleh pucuk pimpinan dan berharap diberikan peluang untuk mewakili pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ramah mesra Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama penduduk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup di sini pada Sabtu.
Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, berkata sudah tiba masanya UMNO diberikan kerusi yang ditandingi MCA selama empat penggal menerusi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Sementara itu, Jeck Seng turut berharap dua kerusi Parlimen yang dimenangi MCA di Johor sebelum ini iaitu Parlimen Ayer Hitam dan Parlimen Tanjung Piai dikekalkan PRU15.
Parlimen Ayer Hitam disandang Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Jeck Seng berjaya merampas semula kerusi tersebut selepas tewas dengan calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu pada PRU14.
Jeck Seng memperoleh majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi mengatasi pencabarnya ketika PRK Tanjung Piai pada November 2019.