SHAH ALAM - Setiap orang mempunyai citarasa tersendiri untuk mencari pasangan hidup mereka bagi melayari bahtera perkahwinan.
Begitu juga dengan pasangan muda, Herman Zulfikar Hamzah, 25, yang memilih untuk mengahwini, Naziha Nuha Ali, 22, yang berasal dari Hawaii, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Peristiwa bersejarah itu dipahatkan menerusi Program Aqdun Mubarak: Program Memeterai Kontrak Maknawi (Kemuncak Destinasi Cinta) Tahun 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini di mana seramai 10 pasangan selamat diijabkabulkan.
Herman yang merupakan seorang guru di Maahad Tahfiz Baitul Ehsan memaklumkan dia menyimpan impian untuk menikahi wanita dari luar negara selepas melanjutkan pelajaran di Indonesia satu ketika dahulu.
"Kita boleh sebar dan luaskan keluarga kita ke luar negara," katanya kepada Sinar Harian selepas majlis tersebut pada Sabtu.
Seindah takdir ketentuan ALLAH SWT, Herman berkata, perkahwinan tersebut bukanlah satu perkara yang dirancang olehnya terlebih dahulu.
Anak keempat daripada enam beradik itu memaklumkan, keluarganya dan mentuanya menemukan mereka pada Julai lalu dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur tanpa pengetahuan dia dan isterinya.
Herman yang terkejut pada awalnya selepas mengetahui tujuan perjumpaan tersebut bagaimanapun membuat keputusan untuk menikahi Naziha Nuha selepas bertemu dengannya.
"Pada awalnya, saya tidak tahu pertemuan tersebut adalah untuk menjodohkan saya dengan isteri kerana keluarga beritahu ada orang dari Hawaii datang ke Malaysia untuk berkenalan.
"Tapi selepas saya berjumpa isteri buat pertama kali, saya lihat dia (Naziha Nuha) baik dan kena dengan ciri-ciri yang saya inginkan," katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan berkata, inisiatif tersebut dilakukan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai konsep majlis pernikahan dan walimatulurus berlandaskan syarak.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan oleh JAIS dengan kerjasama Pejabat-pejabat Agama Islam Daerah Selangor, Tabung Infak Jariah Umat Islam dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini.
"Dengan bayaran sebanyak RM1,000, setiap pasangan akan terus menerima Surat Perakuan Nikah dan Kad Perakuan Nikah.
"Selain itu, mereka juga mendapat perkhidmatan percuma berkaitan urusan nikah, set 'photobooth', set penggambaran, cenderahati pengantin, santapan barakah dan jamuan tetamu," katanya.