PRM pertaruh bekas ADUN di 14 kerusi Parlimen Kelantan

Iklan
Mohd Zain (tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat PRM di Kampung Kepulau, Palekbang, Tumpat pada Sabtu.

TUMPAT - Parti Rakyat Malaysia (PRM) akan bertanding di semua 14 kawasan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan meletakkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai calon.

Ketua Penyelaras, Datuk Mohd Zain Ismail berkata, kesemua calon itu terdiri daripada bekas ADUN parti Pas, BN, Amanah dan Bersatu.

Iklan
Iklan

"Pada masa yang sama, bekas calon PRU sebelum ini dan ahli korporat, akademik termasuk agamawan akan turut ditampilkan pada PRU15 nanti.

"Tujuan kami bertanding adalah bagi memberi pilihan baharu kepada rakyat berbanding yang sedia,” katanya semasa sidang akhbar yang diadakan di Pejabat PRM di Kampung Kepulau, Palekbang di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, inilah peluang terbaik untuk rakyat beralih ‘angin’ selepas bosan dengan pilihan yang sedia ada.

Tambahnya, PRM tidak takut hilang duit deposit dan percaya rakyat akan memberikan sokongan pada hari pengundian nanti.

Iklan

Ujar Mohd Zain, setakat ini parti yang menggunakan logo kepala seladang itu sudah mempunyai 6,500 ahli seluruh Kelantan.

"Kami juga akan meletakkan 45 calon di peringkat DUN pada Mac nanti,” katanya.