ALOR SETAR - Gerakan Tanah Air (GTA) tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perbincangan awal antara dua pihak sudah pun bermula namun masih di peringkat awal.
Menurutnya, keterbukaan itu adalah berasaskan kepada hasrat yang sama, iaitu untuk memastikan BN tewas dalam pilihan raya kali ini.
"Langkah mengadakan perbincangan itu datang daripada keinginan semua pihak untuk memastikan BN tewas pada PRU15.
"Apabila sasaran untuk tewaskan BN itu menjadi keutamaan, semua perbezaan antara kami menjadi remeh. Sebab itu, kami boleh duduk bincang untuk bentuk kerjasama yang boleh dipupuk untuk hadapi PRU15," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, tegas Mukhriz, perbincangan tersebut belum melibatkan agihan kerusi antara parti terlibat.
"Perbincangan itu ada, tetapi di tahap rundingan lagi. Kita baru bermula di fasa konsep untuk menilai sama ada boleh dipertimbangkan ataupun tidak," katanya.
Mukhriz berkata, GTA tidak kisah sama ada menjalinkan kerjasama dengan PN mahupun Pakatan Harapan (PH) asalkan kedua-dua pihak mempunyai matlamat sama.
"Kita tak kisah yang mana satu, setakat ini nampak ada respons positif daripada PN.
"Dengan PH pula, baru semalam (Jumaat) sahajalah Tun Dr Mahathir Mohamad buat video itu. Namun fokus kita adalah untuk elak undi golongan yang menentang BN terpecah dua atau tiga yang akhirnya beri kemenangan kepada UMNO dan BN,” katanya.
Pada Jumaat, Dr Mahathir merakam klip video yang dimuat naik di laman sosial yang menyatakan kesediaan bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kesepakatan PRU15.
Dalam pada itu, Mukhriz tegaskan terdapat dua kaedah yang boleh dilakukan untuk menjalin kerjasama, sama ada dengan menyertai gabungan namun disifatkan agak sukar dilaksanakan.
Manakala kaedah kedua dengan membentuk pakatan dalam menyertai pilihan raya bagi mengelak pertindihan kerusi ditandingi.
"Terdapat juga kajian, tidak akan ada satu parti atau gabungan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian selepas PRU15.
"Jadi, kalau sudah tahu itu keadaannya, mengapa tidak kita mulakan kerjasama sebelum PRU daripada kelam-kabut cari pakatan selepas PRU," katanya.
Mukhriz menyifatkan belum terlambat untuk jalin kerjasama rentas gabungan namun semua pihak harus bertolak ansur dan berjiwa besar
"Perlu ada toleransi, sebab di saat akhir sekiranya kerjasama itu jadi kenyataan, ada kerusi yang mungkin kita terpaksa lepaskan, ada kerusi yang dia kena benarkan kita bertanding atau sebaliknya. Bermakna benda itu perlu dilaksana secepat mungkin," katanya lagi.
Menurutnya, untuk membentuk kerajaan yang stabil, adalah lebih baik kesepakatan itu dilakukan sebelum pilihan raya.
"Kemungkinan besar akan tertubuhnya sebuah kerajaan gabungan sekiranya pihak yang menang kerusi terbanyak masih tak mampu tubuhkan kerajaan. Stabiliti dalam kerajaan lebih baik kalau ada kesepakatan pra pilihan raya, iaitu sebelum pilihan raya diadakan.
"Kesepakatan yang dibina selepas PRU dibimbangi tidak bertahan lama, kita tak mahu lagi ada kerajaan yang tumbang sebelum cukup tempoh sepenggal," ujarnya.
Malah, Mukhriz bimbang tindakan seperti itu juga boleh mengundang kemarahan rakyat yang sebelum itu memilih parti tertentu untuk menang.
"Pakatan baharu yang dimeterai selepas PRU, dibimbangi menyebabkan rakyat kecewa dan berasa seolah ditipu seperti yang berlaku sebelum ini (Langkah Sheraton).
"Kalaulah tengah-tengah penggal tukar lagi kerajaan dan lantik pula Perdana Menteri baharu, rakyat akan mengamuk. Sekarang ni pun memang ramai marah pada orang politik sebab banyak masalah negara kita puncanya politiklah. Sebab itu kita kena cari satu formula yang diterima baik semua pihak dan kita pegang pada formula itu, jangan ubah-ubah lagi," tegasnya.