SHAH ALAM - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) mengarahkan lebih 75,000 ahlinya mengundi calon yang telus, berintegriti dan bebas kes mahkamah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, pihaknya menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan pemimpin salah guna kuasa akan jadi pengkhianat rakyat dan negara seperti disiarkan Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, nasihat baginda itu perlu diberikan perhatian serius demi kesejahteraan dan masa depan negara.
"Cara-cara terperinci yang lebih jelas telah disiarkan di dalam Sinar Harian pada 16 Oktober lalu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menerusi laporan Sinar Harian pada 16 Oktober lalu, Wan Mahmood menyarankan setiap ahlinya memilih calon bersifat telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang pertuduhan mahkamah.
Selain itu, dasar yang perlu diberikan perhatian adalah memilih calon yang berjiwa Rukun Negara, penyokong kuat Perlembagaan Malaysia dan patuh kepada kontrak sosial yang ditandatangani untuk mencapai kemerdekaan Malaysia.
Beliau berkata, kriteria pemilihan calon yang betul itu diharap menjadi pendorong kepada semua parti politik untuk meletakkan calon yang tepat.
"Dengan cara ini, kita dapat mengadakan satu tapisan yang akan menentukan bahawa hanya mereka yang ikhlas dan berintegriti tinggi akan dipilih untuk memimpin negara yang kita cintai ini.
"Nasihat dan saranan kepada ahli-ahli persatuan ini diharap menzahirkan pemimpin-pemimpin yang lebih baik bagi memimpin Malaysia pada masa akan datang," katanya.