PRU15: Ganabatirau berminat tanding kerusi Parlimen

Iklan
Ganabatirau

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian bagaimanapun memaklumkan terpulang kepada pucuk pimpinan parti DAP untuk menentukan kerusi Parlimen yang bakal ditawarkan kepadanya.

Iklan
Iklan

"Memang saya berminat untuk bertanding kerusi Parlimen, saya tidak nafikan kerana sudah dua penggal menjadi ADUN.

"Tapi untuk parti (buat keputusan tentukan Ganabatirau sertai PRU15), ia mengambil kira beberapa faktor seperti sumbangan dalam parti, keupayaan dan kebolehan membawa penyatuan sesama ahli parti.

Iklan

Saya percaya ia akan dipertimbangkan oleh ahli Majlis Tertinggi parti, bukan keputusan seorang dua sahaja," katanya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ganabatirau turut menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan menggantikan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bagi PRU15.

Iklan

Ujarnya, masih terlalu awal untuk memaklumkan perkara tersebut kerana ia perlu melalui perbincangan di peringkat tertinggi parti tersebut.

"Terlalu awal untuk menyatakan bahawa saya akan bertanding di Klang dalam PRU15.

"Adakah saya akan gantikan Charles, saya tidak faham perkara ini kerana hanya tunggu arahan daripada pucuk pimpinan.

"Kalau mereka minta saya bertanding, saya akan berbuat demikian," katanya.

Pada Rabu, sebuah portal berita melaporkan parti DAP akan menggugurkan nama Charles daripada bertanding dalam PRU15.

Menurut laporan berkenaan, Ganabatirau yang juga Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor didakwa antara calon yang bakal menggantikan Charles untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Klang kali ini.