Laporan buku Tommy Thomas dedah kegagalan, penipuan PH

Iklan
Kenyataan Shahril Sufian di laman Facebook pada Sabtu.

SHAH ALAM – Laporan Pasukan Petugas Khas siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mendedahkan kegagalan dan penipuan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, laporan itu membuktikan PH telah melanggar laungan dan slogan mereka untuk menambah baik tadbir urus yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Iklan
Iklan

Ini kerana jelasnya, ketika kempen PRU14, PH mendakwa mahu mengurangkan kebarangkalian salah guna kuasa, campur tangan dalam kehakiman dan sebagainya.

"Hari ini terbongkar satu lagi kegagalan dan penipuan PH. Terang, terang, satu prosedur dan undang-undang yang dibuat zaman Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk memperkasa sistem kehakiman dan memperkuat pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman, telah dikesampingkan dengan sewenang-wenangnya.

Iklan

"Mahu percaya lagikah? Atau lebih mahu percaya laungan pemimpin mereka yang secara gah berkata dalam ceramah, ‘kami akan sumbat kamu dalam penjara lepas menang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu Shahril berkata, laporan siasatan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri itu turut mendedahkan, Tommy yang dilantik ketika PH memerintah telah terbabit dalam pelbagai tindakan meragukan.

Iklan

Paling jelas katanya, ketika pelantikan pemegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada Julai 2018 melibatkan individu-individu yang dipersetujui dalam perbincangan sulit antara Tommy dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.

"Yakni pelantikan untuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Nama-nama tersebut berbeza dari pilihan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

"Ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di mana seperti ditegaskan dalam muka surat 38 hingga 40 laporan pasukan khas, seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon Hakim untuk mahkamah-mahkamah seperti di atas.

"Sebaliknya, sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Perdana Menteri boleh mohon beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan, tetapi hendaklah dari kalangan senarai itu. Bukan pilihan sendiri bersama Peguam Negara,” jelasnya.

Selain itu, laporan pasukan khas tersebut turut menegaskan, Peguam Negara bukan ahli suruhanjaya dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencadangkan mana-mana nama kepada Perdana Menteri.

Shahril menjelaskan, kenyataan yang dibuatnya bukan bertujuan untuk mempersoalkan integriti mana-mana hakim yang dilantik pada 2018 atau keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Ini bukan mirip perjuangan untuk rakyat. Ini perjuangan politik dendam. Mereka benci segala yang berkait dengan UMNO dan BN.

"Mereka mengajak rakyat turut sama benci, tapi bukannya untuk rakyat (tetapi) untuk kepuasan hati dan nafsu mereka,” ujarnya.