SHAH ALAM - ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 30 menjelaskan bahawa majlis perkahwinannya pada 14 Oktober lalu diadakan dengan pengetahuan ibu bapa dan keluarganya.
Azwan dalam satu siaran langsung Facebook Live pada Jumaat menjelaskan, dakwaan bahawa ibu bapanya tidak dimaklumkan mengenai majlis perkahwinan itu adalah tidak benar kerana dia telah beberapa kali memaklumkan perkara berkenaan.
"Saya sudah beritahu hendak berkahwin kepada ayah sebanyak tiga kali dan emak lima kali.
"Cuma mereka tidak bersetuju sangat dengan calon dipilih tetapi mungkin silap saya kerana teruskan untuk berkahwin dengan pilihan saya, itu memang adalah kesilapan saya sendiri,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Jumaat.
Ulas Azwan, dia turut menghantar beberapa keping gambar serta klip video pernikahan melalui aplikasi WhatsApp kepada ibunya.
Jelasnya, majlis perkahwinan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Disember tahun ini terpaksa dipercepatkan berikutan mengambil kira faktor cuaca dan misi-misi bantuan yang perlu diberi kepada mangsa banjir.
"Jadi kami ambil keputusan untuk kahwin awal dan majlis akan dibuat pada penghujung tahun, bulan Disember,” ujarnya.
Pada Jumaat, Azwan dilapor selamat diijabkabulkan dengan tunangnya, Evanoza Zakaria di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Ayer Keroh, Melaka.
Berita gembira itu telah dikongsikan Azwan bersama orang ramai menerusi penstriman secara langsung pada malam Khamis namun disimpan sebagai tetapan peribadi.
Azwan berkata, tiada niat untuk menyembunyikan perkara baik itu namun memandangkan dia dan isteri mempunyai niat yang sama untuk melakukan kebajikan dia mengambil keputusan memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan fitnah.