LARUT - Kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Perak belum cukup menggegarkan parti-parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sejak dahulu menjadi amalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersikap yakin mampu membawa pengaruh besar di kerusi ditandingi, namun hakikatnya tidak memberi apa-apa kesan.
"Dia ada umumkan (bertanding di Tambun), sama ada betul atau pun tidak, kita tunggulah," katanya kepada pemberita sempena Pelancaran PN Larut di Pekan Selama di sini pada Sabtu.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, setiap parti mempunyai strategi sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi.
"Sebab itu saya bersyukur kerana telah nampak rakyat sudah mula sedar bahawa ada lagi pemimpin-pemimpin dalam negara kita ini, kalau dicari, kalau dipilih, merekanya dari PN," katanya.
Pada Khamis, Anwar mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang kini disandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, dalam ucapannya Hamzah yang juga penyandang kerusi Parlimen Larut yakin PN mampu mencipta kemenangan di semua empat kerusi termasuk tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Larut.
Katanya, gelombang yang ditunjukkan pengundi-pengundi terhadap semangat PN adalah lebih ikhlas dan jujur untuk menentukan masa depan negara yang lebih baik.
"Di Larut ini kita yakin untuk menang 4-0 pada PRU nanti.
"Semangat Larut ini akan kita bawa ke Parlimen di sekeliling kawasan kita ini supaya kita dapat memenangi seberapa banyak kerusi yang ada dalam negeri Perak," katanya.
Ucapan itu mendapat sorakan hampir 8,000 penyokong parti yang hadir.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria, Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi PN Larut, Mohd Akmal Kamarudin.
Pada PRU14, Hamzah menang di kerusi Parlimen Larut atas tiket BN dalam pertembungan tiga penjuru yang juga melibatkan Pas dan PKR.
Beliau kemudian mengambil keputusan untuk keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Bersatu.
Parlimen Larut mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Selama dan Kubu Gajah yang kini disandang wakil rakyat Pas serta Batu Kurau disandang wakil rakyat BN.