PENGANJUR Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd tidak berhasrat mengemukakan sebarang bidaan kepada pihak kerajaan untuk menjadi hos perlumbaan jelajah berbasikal terulung di rantau Asia itu tahun depan.
Sebaliknya, Pengasas Human Voyage, Datuk Abdul Malik Mydin berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menentukan status hak penganjuran perlumbaan LTdL yang bakal memasuki edisi ke-27 tahun depan.
"Saya percaya kami telah melakukan kerja yang baik dalam meningkatkan taraf LTdL. Kami dah diberikan amanah tiga tahun dan kami dah laksanakan. Buat masa ini, kami tidak ada niat (membida perlumbaan LTdL tahun depan), bukan tidak mahu menganjurkannya lagi.
Untuk rekod, Human Voyage telah diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menganjurkan perlumbaan LTdL antara 2019 hingga 2021 dan ia dilanjutkan pada tahun ini selepas penganjuran edisi 2021 terpaksa ditunda susulan pandemik Covid-19.
Selain diberi kepercayaan menganjurkan LTdL dengan kontrak tiga tahun itu, Human Voyage - salah sebuah syarikat pengurusan acara yang terkenal di negara ini, menjadi hos LTdL buat kali pertama ketika edisi ke-20 pada 2015.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Selasa memaklumkan LTdL 2023 bakal dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang masih akan mendapatkan kepakaran daripada sektor swasta untuk membantu mereka menganjurkan perlumbaan tersebut.
Dalam pada itu, Malik berkata, pihaknya telah melakukan beberapa penambahbaikan tahun ini berbanding edisi 2019 dan 2020 termasuk penyiaran bagi kesemua peringkat yang disiarkan secara langsung untuk tontonan peminat sukan berbasikal di seluruh dunia.
"Tahun ini pihak kami melabur dalam penyiaran langsung untuk membawa perlumbaan kepada orang ramai dan memberi penaja kami pulangan pelaburan yang baik. Kami juga menukar masa mula perlumbaan antara jam 1 petang hingga 2 petang untuk penonton di Eropah.
"Penyiaran secara langsung ini melibatkan 70 buah negara. Sebab itu perlumbaan ini disiarkan di beberapa saluran (televisyen seperti) Eurosport dan China TV. Pembaharuan lain, kita ada OB truck, itu semua antara yang menjadi fokus saya kali ini,” ujarnya.