PUTATAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan bahawa isu keselamatan dan pertahanan di Sabah tidak dijadikan isu politik.
Beliau berkata, kestabilan negara amat penting bagi memastikan pelabur dan pelancong dari luar datang ke Sabah.
"Kalau negara ini stabil, senang untuk kita membuat perancangan dan melalui kestabilan kekal inilah boleh negara dan pelabur dari luar datang ke Sabah, (tapi) kalau persepsinya kita ini tidak selamat, siapa nak datang?.
"Jadi kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini kritikal. 70 peratus anggota kita yang berada di Sabah ini datangnya dari Semenanjung.
"Saya nak cakap dekat orang Sabah, yang terkorban di Lahad Datu yang dulu, yang terkorban semua di Tanduo merupakan mereka dari Semenanjung.
"Jadi janganlah kerana politik kita gembar- gemburkan isu bersandarkan kepada kenegerian, warna kulit, agama, bangsa, kaum kerana ini berkisar kepada kedudukan keselamatan dan pertahanan negeri Sabah itu sendiri," katanya pada sidang akhbar semasa hadir Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Lok Kawi di sini pada Sabtu.
Sementara itu ditanya mengenai kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), Hishammuddin masih berteka teki sama ada akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Sembrong atau sebaliknya.
Beliau sebaliknya berkata, tugasnya ketika ini adalah memastikan jentera bersiap sedia untuk memenangkan siapa saja yang dicalonkan BN dalam PRU15.