Annie Ernaux pemenang Hadiah Nobel

Iklan
Novelis Perancis, Annie Ernaux, 82, memenangi Hadiah Nobel Sastera 2022.

SUDAH diketahui umum pemenang Hadiah Nobel Sastera 2022 ialah Annie Ernaux, sebagai sasterawati pertama Perancis.

Bermakna ia mengalahkan calon akhirnya Haruki Murakami dan Salman Rushdie. Perancis adalah negara terbanyak penerima Hadiah Nobel seramai 16 pengarang, antaranya Jean Paul Sartre, Albert Camus dan Claude Simon.

Iklan
Iklan

Tunjang subjektiviti kepengarangan Annie Ernaux ialah pengalaman hidup kewanitaannya.

Terkenal sebagai penulis yang prolifik dalam menulis artikel sastera bukan fiksyen dan penulis fiksyen genre novel autobiografi.

Iklan

Perjalanan hidupnya yang dilaluinya sejak zaman remajanya sebagai gadis sederhana dengan melalui lika-liku ranjau, menghadapi kerencaman tekanan daripada konflik kelas dan sebagai manusia pinggiran yang dilanda pelbagai kepahitan dan penderitaan, diramunya dengan situasi sosial dan persekitarannya, menjadikan penulisannya tajam dan penuh intens.

1974 adalah tahun permulaan dengan novel pertamanya Cleaned Out, mencitrakan zaman kanak-kanak dan remajanya, menggabungkan sejarah hidupnya dengan masyarakat keliling yang membentuk budayanya.

Iklan

10 tahun kemudian pada 1984 dengan A Man’s Place menceritakan hubungan dirinya dengan keluarganya, terutama ayahnya, dan telah memenangi Hadiah Novel Renaudot. 1987 menghasilkan A Women’s Story menceritakan hubungannya dengan ibunya, saudara-maranya dan teman-teman sepanjang kehidupannya.

Begitulah Annie Ernaux berpangkal pada idea dan pengalamannya dan dengan bijaksana dan beraninya, mengaitkannya dengan permasalahan masyarakat dan budayanya.

Semua kelemahan dan pantang larang terhadap wanita cuba diwacanakannya. Karya-karya lainnya ialah Passion Simple, Abortion, Alzheimer, dan Breast Canser.

Teks pertama mencitrakan percintaannya dengan seorang lelaki Eropah, kedua pengalamannya dalam peristiwa pengguguran janinnya, teks ketiga penyakit nyanyuk ibunya yang membawa maut, dan teks keempat membawa peristiwa serangan barah buah dada yang dialaminya.

Pada tahun 2008, Annie Ernaux menulis sebuah memoirnya The Years. Pencitraannya di sekitar selepas Perang Dunia Kedua, hingga karya itu ditulis pada dekad 2000-an.

Para pengkritik memberinya pujian dan merumuskannya sebagai novel kanonnya. Novel itu memenangi pelbagai hadiah sastera termasuk Marguerite Duras Prize yang berprestij di Perancis.

Diplomat Rusia

Pada tahun 2022 Getting Lost kisah pertemuannya dengan diplomat Rusia yang menyingkap percintaannya antara dua benua, dan dikatakannya sebagai mencari makna diri di tengah kekelatuan dunia. Annie Ernaux telah menghasilkan 20 buah, dengan karya bukan fiksyen dan novel autobiografinya.

Annie Ernaux lahir pada 1 September 1940 daripada keluarga biasa. Ibu bapanya bekerja sebagai penjual kedai runcit. Novelis ini mencari kehidupan yang tenang, tidak terdedah kepada kehidupan golongan menengah, borjuis atau elitis; sebaliknya hidup dalam segala kesederhanaan di Cergy Pontoise, sebuah bandar kecil jauh dari kota Paris, yang mewah dan megah itu.

Budayanya hanya seadanya. Dalam situasi beginilah yang mengasuhnya sejak kecil lagi menjadi pengarang. Dia rajin membaca buku. Dan sesuatu yang luar biasa, matanya yang tajam menguasai persekitaran dan menelusuri rahsianya.

Kerjayanya bermula di London, kemudian pulang ke Perancis pada 1970-an memasuki Universiti Rouen dalam bidang sastera dengan menelaah karya autobiografi. Menjadi guru dan meneruskan pengajian di peringkat kedoktoran, dan akhirnya menjawat sebagai profesor sastera.

Yang menariknya, pada zaman-zaman awal penulisannya teks-teks autobiografi kurang mendapat tempat. Tidak disangka-sangka selepas Perang Dunia Kedua memasuki zaman pascamoden dan global, penulisan autobiografikal mendapat sambutan yang lumayan.

Novel-novelnya dikongsi permasalahannya dengan wanita seluruh dunia. Dengan sendiri dia memasuki wilayah feminisme, menyirat kondisi dan kesedihan yang dialami oleh kaumnya.

Dia berkata, ‘perlunya mempertahankan perjuangan untuk hak-hak perempuan dan mereka yang tertindas’. Dia adalah penentang kekejaman Israel terhadap Palestin. Ada tanggungjawab terhadap politik, penindasan dan kepincangan masyarakat.

Keberaniannya yang luar biasa daripada pengalaman hidupnya, mencapai karya yang dikagumi dan mengesankan.

Bagaimanapun, novel-novelnya agak sederhana sahaja, tetapi berisi dengan ketajaman hasil pengalaman peribadinya terhadap konflik kelas dan gender. Menghasilkan sebanyak 20 buah buku.

Tulisan-tulisan bukan fiksyennya dan novel autobiografinya, yang membawa kepada kemenangannya.

Sastera Melayu

Penilaian terhadap karyanya, para juri merumuskan bahawa teks-teks Annie Ernaux membina subjektiviti kepengarangannya sebagai ‘keberanian dan ketajaman pemerhatiannya dalam menyingkap akar, pengasingan dan halangan secara kolektif atas kenangan peribadinya’.

Apa yang ditulis oleh Annie Ernaux adalah selari dengan teks autobiografi pascamoden yang menulis sejarah hidup manusia, bermula dengan masa kelahirannya, detik-detik perjuangan, sumbangan, keistimewaan, jasa, budi dan kejayaannya hinggalah ke saat-saat mutakhirnya.

Pesonanya adalah diri sendiri yang memegang watak protagonisnya, diikat oleh pembuktian dengan dokumen, catatan, dan semua dokumentasi yang menjadi bahan serta rujukan, supaya apa yang dihasilkan adalah benar.

Annie Ernaux menghasilkan autobiografi fiksyenal atau terkenal dengan nama autofiksyen. Dia diterima sebagai pelopor genre autofiksyen itu.

Menurut teori sastera autobiografi, teks berdasarkan faktual dengan ketulenan peristiwa, dan kesahihan cerita dengan gaya naratif menarik.

Fiksyenal masih berdasarkan fakta, tetapi dimasuki unsur imaginasi, ilusi dan metafiksyen serta segala unsur dan teknik naratif. Autobiografi fiksyenal atau autofiksyen memakai watak sebenar dan merakamkan sejarah kehidupan penceritanya.

Dengan kemenangan Hadiah Nobel 2022 kepada Annie Ernaux bermakna pengiktirafan terhadap teks bukan fiksyen dan novel autobiografi. Juga, penerimaan terhadap genre novel yang dinobatkan sebagai genre zaman pascamoden.

Rasanya masih terngiang-ngiang nama Abd Razak Gurnah memenangi Hadiah Nobel Sastera tahun sebelumnya dengan novel-novel pascakonialismenya.

Tidak mustahil tahun-tahun mendatang akan dimenangkan pula karya metahistoriografik yang mengaplikasikan teori new historisisme atau karya pengembaraan yang menggunakan teori sastera perjalanan.

Ada signifikasinya kepada pengarang tanah air, supaya menghasilkan karya berdasarkan teori sastera.

Contohnya, novel autobiografi Annie Ernaux bersandarkan kepada teori sastera autobiografi yang relevan dan sesuai dengannya.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia