SEGAMAT - Tindakan individu yang membuang sampah serta tin dan botol minuman keras di merata-rata tempat mencacatkan imej bandar ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Mohd Masni Wakiman berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu sekali gus menyebabkan persekitaran terjejas.
Katanya, sejak kebelakangan ini, pemantauan MPS mendapati botol kaca dan tin minuman keras termasuk sampah-sarap dibuang merata-rata turut mengakibatkan kerosakan pada penutup lubang saliran air.
"Tabiat ini menggalakkan pembiakan jentik-jentik dan boleh membawa maut. Selain sampah-sarap, aktiviti vandalisme juga memberi ancaman kepada kemudahan awam.
"Kerosakan harta milik MPS dikesan berlaku yang menyebabkan kerugian kerana kita harus menyalurkan peruntukan bagi membaiki peralatan ini.
Walhal, ia sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk projek pembangunan daerah,” katanya ketika ditemui.
Tegas beliau, MPS boleh meletakkan penguat kuasa 24 jam bagi memantau aktiviti vandalisme, namun ia akan melibatkan kos tambahan.
"Sepatutnya peruntukan hasil bayaran cukai digunakan untuk menaik taraf daerah Segamat. Apa yang dikesali, deretan tong sampah jaraknya hanya kira-kira lapan meter setiap satu disediakan.
"Namun segelintir pihak tidak bertanggungjawab tetap alpa membantu menjaga imej Dataran Segamat," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Masni turut mohon kerjasama netizen agar tidak memuat naik aktiviti gelandangan kerana mencalarkan imej positif daerah Segamat.
"Bantuan boleh dihulurkan selain terus mengemukakan perkara itu melalui saluran yang tepat berbanding memuat naik aktiviti golongan ini.
"Dari masa ke semasa, pihak MPS berganding bahu dengan beberapa agensi bagi menaik taraf kawasan ini dengan kos yang tinggi bagi memastikan Segamat dapat menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk serta tarikan unik untuk dikunjungi pihak luar," katanya.