MUAR - Polis mengesahkan berlaku insiden provokasi ketika Program Ceramah Malam Mesra Muo yang dianjurkan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di sebuah dewan restoran di Jalan Bakri Muar pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kekecohan yang berlaku pada jam 9.35 malam dipercayai bermula apabila tetamu di dalam dewan keluar dan bersemuka dengan kumpulan yang berada di luar.
"Polis akan menjalankan siasatan di bawah mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa termasuk Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi dan media sosial.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, ceramah Muda sekali lagi dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar.
Dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat yang dimuat naik Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju hitam memakai pelitup muka dan melaungkan perkataan 'balik' sebagai provokasi terhadap tetamu yang hadir pada program berkenaan.