Pemulihan negara tidak berjaya jika UMNO menang PRU15: Tun M

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemulihan negara dalam pelbagai sudut terutama ekonomi tidak akan berjaya sekiranya UMNO menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, negara akan mengalami keadaan yang lebih teruk sekiranya rakyat tidak menolak UMNO dan terus mengundi parti itu pada PRU15 nanti.

Iklan
Iklan

Beliau turut menegaskan tanggungjawab rakyat yang cinta pada bangsa dan negara untuk memperingati pengundi mengenai keburukan pemerintahan UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya.

"Malaysia sudah jadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.

Iklan

"Sebaliknya Najib berpendapat melalui sogokan wang yang banyak kepada rakyat, UMNO akan dipilih dalam tiap-tiap PRU. Tetapi dalam PRU14, Najib kalah dan tidak lagi dapat sembunyi jenayah yang dilakukan.

"Kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan UMNO dan Najib. Prestasi pencapaian Malaysia juga merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai kleptokrasi, iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri sekali gus Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.

Iklan

"Adalah jelas jika UMNO tidak ditamatkan Malaysia akan alami keadaan yang lebih teruk. Pemulihannya tidak dapat dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menyifatkan semua kesalahan dan kegagalan UMNO perlu didedah supaya rakyat yang cinta kepada negara dan bangsa akan menolak parti itu dalam PRU15.

"Jika keburukan UMNO tidak didedah besar kemungkinan pengundi tidak fikir panjang dan undi UMNO seperti biasa. Apatah lagi kepimpinan UMNO amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.

"Dengan sifat ini kesalahan Presiden UMNO yang sudah dipenjara dan dikena denda RM210 juta bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong UMNO. Oleh itu jangan malu apabila menyokong UMNO.

"Apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang. Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat 'Cash is King' memerintah sekali lagi," katanya.