PUTATAN - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sudah menghantar senarai kerusi yang disasarkan dan sedang menunggu untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan tertinggi BN.
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup bagaimanapun berkata, PBRS selari dengan pendirian yang dibuat oleh Pengerusi BN yang bersedia untuk bergerak solo.
"Kami sudah hantar senarai kerusi yang diharapkan dan sekarang dianalisis oleh pemimpin atasan dan sedang dalam perbincangan.
"Kami hanya ikut kenyataan dan pendirian yang dibuat oleh pengerusi BN mereka sedia gerak solo," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Lok Kawi, di sini, pada Sabtu.
Ditanya jumlah kerusi yang mereka sasarkan, Arthur berkata, setakat ini beliau akan mengekalkan kerusi yang disandangnya Parlimen Pensiangan.
"Ada beberapa yang kita ada dalam senarai yang diharapkan. (Tawau) mungkin dalam senarai itu, mungkin ada beberapa lebih daripada satu.
"Tetapi kita punya matlamat utama, bagaimanapun perundingan kita selepas pilihan raya ini, kita mahu pastikan negara khususnya rakyat menikmati kestabilan kerajaan sebab kita tidak mahu lagi melalui ketidakstabilan politik yang telah menjejaskan ekonomi kita dalam beberapa tahun ini," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup menyarankan keputusan BN untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga dilaksanakan di Sabah.
Beliau percaya bahawa kerjasama BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan beri kelebihan kepada PN.