WASHINGTON - Seorang lelaki bersenjata menembak mati dua petugas Pusat Perubatan Methodist Dallas dalam satu kejadian di Texas, lapor Sputnik.
Menurut NBC News yang memetik pegawai hospital, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi waktu tempatan pada Sabtu (16:00 GMT).
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Penguatkuasaan Undang-undang Texas (CLEAT), Charley Wilkison berkata, di media sosial suspek menembak mati dua jururawat wad bersalin.
"Insiden Kritikal @CLEAT ke-111, OIS (tembakan melibatkan pegawai) Hospital Dallas Methodist. Suspek menembak dua jururawat wad bersalin," kata Wilkison.
Seorang pegawai polis hospital itu berjaya menembak suspek.
"Suspek telah ditahan, berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke hospital tempatan yang lain," lapor NBC memetik pegawai hospital Methodist pada Sabtu.
Motif kejadian belum dapat dipastikan. - Bernama