Bersih kecam budaya kempen ganas, samseng

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam tindakan kumpulan yang bertindak samseng ketika Program Ceramah Malam Mesra Muo yang dianjurkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di sebuah dewan restoran di Jalan Bakri Muar pada malam Sabtu.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, tindakan samseng dan ganas itu adalah satu kesalahan dalam kanun keseksaan dan kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 4A kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Iklan
Iklan

"Bersih menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar cenderung kepada kempen yang lebih positif dan sihat dengan mengecam sekeras-kerasnya serta menolak sebarang bentuk kelakuan ganas dan samseng sebegini tidak kira daripada parti mana pun.

"Bersih juga ingin mengingatkan bahawa budaya kempen yang ganas dan samseng ini bukanlah budaya pilihan raya yang bersih serta bebas. Tindakan ganas dan samseng ini adalah satu bentuk kempen negatif serta provokasi yang melampau.

Iklan

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, ceramah Muda sekali lagi dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar.

Dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat yang dimuat naik Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju hitam memakai pelitup muka dan melaungkan perkataan 'balik' sebagai provokasi terhadap tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Iklan