PONTIAN -"Doakan saya sihat agar dapat balas pengorbanan isteri jaga saya siang dan malam ketika saya sakit dulu,” kata Rosman Abdul Rahman, 51, suami kepada Hasnah Mohd Salimin, 50, yang tidak dapat melihat selepas menderita penyakit kencing manis.
Rosman yang berkerusi roda selepas kaki kiri dipotong tiga tahun lalu setia menjaga Hasnah yang menunggu giliran bagi membuat tapak dialisis.
Rosman tabah menjaga Hasnah apabila keperluan isterinya disiapkan sebelum dia ke bandar bagi jalani rawatan dialisis.
"Lima tahun lalu, saya jalani dialisis selepas derita kencing manis lebih 20 tahun.
"Selepas dua tahun, kaki di sebelah kiri pula terpaksa dipotong. Hasnah banyak berkorban masa dan tenaga jaga saya siang dan malam.
"Kini, Hasnah pula sakit, jadi saya pula jaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Timur Laut, Telok Kerang, semalam.
Menurutnya, anak bongsu, Ummi Syakila, 15, turut sama membantu selepas pulang dari sekolah.
"Saya perlu jalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di pusat dialisis swasta di bandar Pontian bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.
"Van pusat dialisis ambil saya dari rumah. Sebelum keluar, saya akan siapkan makanan dan keperluan isteri,” katanya.
Dia bersyukur kerana dapat bantuan Perkeso dan Baitulmal bagi kos rawatan dialisis.
Bagaimanapun, dia bimbang kos rawatan buat tapak dialisis dan rawatan susulan cecah RM10,000.
"Saya harap isteri dapat buat tapak dialisis secepat mungkin bagi membolehkan dia menjalani rawatan dialisis.
Bagi menambah pendapatan, Rosman buat kuih-muih sejuk beku seperti karipap.
"Anak-anak sudah banyak membantu, anak sulung berusia 23 tahun bekerja sebagai penghantar makanan di Singapura manakala dua lagi bekerja kilang,” katanya.
Bagi menambah pendapatan, Rosman membuat kuih-muih sejuk beku seperti karipap.
"Sebelum sakit, saya buat kek dan banyak terima tempahan untuk majlis perkahwinan.
"Saya harap dapat memiliki kerusi roda bermotor bagi memudahkan bergerak,” katanya.
Sementara itu, badan sukarela Amal Team Johor melalui wakilnya, Nurul Azwana Nordin memberitahu, Rosman dan isteri kerap ke Hospital Sultanah Aminah bagi menjalani rawatan.
Katanya, pihaknya akan membantu pasangan ini bagi meringankan penderitaan ditanggung.
Orang ramai yang ingin beri bantuan boleh hubungi Rosman di talian 0176689173.