Wisma Putra terus jejaki mangsa sindiket tipu kerja

Iklan
Saifuddin bertanya sesuatu kepada salah seorang pengunjung yang hadir di program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota pada Ahad.

KUANTAN - Wisma Putra akan mengesan dan menjejaki saki baki rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran kerja di beberapa negara untuk diselamatkan dan dibawa pulang ke negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini laporan mengenai kehilangan rakyat Malaysia di beberapa negara seperti Kemboja, Loas, Thailand dan Myanmar semakin berkurangan, namun usaha masih diteruskan bagi memastikan tiada rakyat negara ini ditahan oleh pihak berkuasa di negara berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini, dalam tempoh seminggu kita tidak mendengar sebarang laporan baharu. Walaupun saya tiada data tepat, namun kita tahu kes kehilangan semakin berkurangan, mudah-mudahan selepas ini tiada laporan kehilangan mereka yang tertipu akibat jenayah ini," katanya ketika program gerai prihatin rakyat peringkat Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 10 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.

Iklan

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam Sabtu dengan menaiki pesawat AK535 dan diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Setakat Sabtu, seramai 313 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Iklan

Daripada jumlah itu, 255 orang sudah dihantar pulang, manakala baki 58 lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai baki 58 lagi rakyat Malaysia ditahan, Saifuddin berkata, kesemua mereka sedang menunggu pelepasan daripada pihak berkuasa negara berkenaan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Tambahnya, Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan negara-negara berkenaan akan terus bekerjasama dan menggiatkan usaha bagi menangani isu sindiket jenayah ini.

"Kita akan cuba selamatkan semua. Tidak ada seorang pun kita akan biarkan mereka di sana," katanya.