PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Rundingan agihan kerusi antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini selesai 70 peratus.
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, Muda meminta gabungan berkenaan memberikan kurang 15 kerusi kepada mereka.
"Apa yang penting kita tidak minta langsung kerusi yang disandang (PH ketika ini). Memang ada dengar desas-desus tetapi perkara itu tidak ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan PH di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, beberapa rundingan yang belum diputuskan ketika ini diyakini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, ditanya mengenai kerusi yang akan diminta oleh partinya untuk ditandingi, Amira Aisya yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda berkata, pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat tidak lama lagi.
Jelasnya, ketika ini hanya Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang disahkan akan bertanding bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Pada 12 Oktober lalu, Mesyuarat Majlis Presiden PH setuju menjalin kerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRU15 nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat yang berlangsung pada Rabu, namun permohonan parti yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu untuk menganggotai pakatan itu secara rasmi mungkin tidak sempat diproses.
Ini kerana katanya, ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.