Kerjasama BN, GRS untuk pastikan kemenangan bersama: PM

Iklan
Ismail Sabri bersama Ahmad Zahid pada program Gelombang Biru BN, Zon 3 di Kimanis Commercial Center pada Ahad. - Foto Bernama

KIMANIS - [DIKEMAS KINI] Kerjasama dibentuk antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini bertujuan memastikan kemenangan bersama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu berkata, apa yang penting pada PRU15 bukan bilangan kerusi Parlimen yang ditandingi, sebaliknya jumlah kerusi Parlimen dimenangi yang hanya mampu diperolehi menerusi solidariti kukuh antara dua rakan berkerjasama dalam kerajaan Sabah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, BN boleh bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan bertembung sama sendiri dengan rakan kerjasamanya GRS, bagaimanapun apa yang terjadi akhirnya bak kata peribahasa 'yang dikendong tak dapat, yang dikejar keciciran'.

"Untuk menang PRU15 ini kita perlu solidariti dalam UMNO, dalam komponen BN, dan di Sabah bersama rakan kerajaan negeri (GRS). Kita masuk bertanding satu sahaja, nak menang setiap kerusi dipertandingkan, ini nawaitu (niat) kita bertanding," katanya semasa berucap dalam program Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) Zon 3 di sini pada Ahad.

Iklan

Program itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut hadir Naib Pengerusi BN, Datuk Arthur Kurup yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan PBRS menjalin kerjasama dengan GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu bagi mentadbir kerajaan Sabah.

Iklan

Ismail Sabri berkata, selain solidariti bersama parti lain, solidariti dalam BN sendiri adalah penting bagi memastikan parti itu terus utuh seperti mana perpaduan kukuh yang ditunjukkan antara dirinya dan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.

"Ada percubaan untuk pecah belah (kerjasama) saya dan Presiden (Ahmad Zahid), turun ke bawah saya dan Presiden terangkan hubungan kami sangat kuat dan tidak boleh dipecah belah.

Beliau berkata, perpaduan yang ditunjukkan kepimpinan tertinggi parti itu perlu diteladani setiap anggota parti terutama peringkat akar umbi dan diterjemah dengan perpaduan untuk memastikan kemenangan sesiapa sahaja calon yang mewakili parti itu pada PRU15.

Ujar beliau, semua usaha (seperti kerjasama, perpaduan, kepimpinan kukuh) itu perlu dalam menjadikan BN sebuah parti yang dominan dalam kerajaan dan tidak terlalu bergantung kepada parti lain untuk kekal memerintah serta menentukan sendiri hala tuju kerajaan.

"Betul saya Perdana Menteri, tetapi parti kita hanya mempunyai 42 kerusi (Parlimen) bila orang ugut tekan butang, kita fikir kalau tekan tumbang kerajaan, namun ketika itu parti dalam PH (Pakatan Harapan) tandatangan MoU dengan kerajaan walaupun tekan butang tak tumbang kerajaan, tetapi sampai bila.

"Supaya kita mampu membuat keputusan besar kepada rakyat, BN mesti menguasai sebahagian besar komponen dalam parti, kalau kita dominan kita dapat luluskan apa sahaja untuk kepentingan rakyat di Sabah ini," katanya.

Ismail Sabri berkata, salah satu keputusan besar itu melibatkan Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober lepas, yang mempunyai pelbagai kepentingan untuk Sabah, antaranya peruntukan RM6.3 billion bagi projek pembangunan di negeri itu.

Selain itu katanya, RM180 juta dalam bajet itu diperuntukkan untuk membangunkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah yang pada masa ini pada tahap 87.5 peratus siap.

"Bajet dibentang ini belum diaksana. Kuasa membentang semula bajet ini terletak pada tuan puan sekalian,19 November (hari mengundi) menentukan boleh bentang bajet sama atau tidak. Manifesto berbeza berbanding bajet, bajet ini sudah ada kewangan untuk laksanakan, manifesto pula hanya janji," katanya.

Pada majlis sama Ismail Sabri turut melancarkan Projek Naik taraf Jalan Bukit Manggis bernilai RM127 juta di Kimanis dan Projek Pembinaan Masjid Kedua Pekan Bongawan bernilai RM4 juta bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.- Bernama