KLANG - Selangor merupakan negeri pertama yang menyediakan skim perlindungan diri percuma yang dikenali Skim Insurans Am Selangor (Insan) kepada rakyatnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif perlindungan insurans am berkumpulan tersebut dilaksanakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dan ditawarkan kepada individu berusia seawal 30 hari hingga 80 tahun.
Menurutnya, Skim Insan telah menerima 40,000 pendaftaran dan menyasarkan satu juta rakyat Selangor akan mendaftar skim tersebut menjelang hujung tahun ini.
"Insya-ALLAH program ini akan diteruskan, disambung serta ditambah baik dari semasa ke semasa demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan," katanya selepas merasmikan pelancaran Skim Insan pada Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman di sini pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim.
Pada majlis itu, Amirudin menyampaikan sijil Skim Insan kepada lima penerima sebagai gimik pelancaran.
Beliau berkata, skim tersebut ditawarkan kepada anak jati Selangor serta individu bermastautin atau pengundi berdaftar di Selangor yang bakal menerima perlindungan sehingga RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan
Katanya, pendaftaran boleh dibuat di aplikasi e-dompet Wavpay atau ke pusat khidmat berhampiran.
"Pendaftaran biasanya akan diproses dalam tempoh 48 jam, borang yang tidak lengkap boleh menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama.
"Namun, mereka yang berdepan masalah tersebut boleh merujuk kepada pusat khidmat untuk mendapatkan bantuan serta kaunter MBI Selangor juga sedia membantu untuk pendaftaran," katanya.
Mengulas lanjut katanya, program tersebut bertujuan memberikan perlindungan kepada rakyat Selangor dan ia adalah lanjutan kepada inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
"Selepas Covid-19 dan insiden banjir, kita dapati rakyat Selangor perlu disedarkan mengenai kepentingan perlindungan diri maka kerajaan negeri memulakan inisiatif ini untuk memberikan pemahaman.
"Kesedaran perlindungan diri masih belum meluas dan jadi menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi rakyat," katanya.
Tegasnya, tidak rugi mendaftar skim perlindungan kerana ia bukan bertujuan mempromosi mana-mana syarikat insurans sebaliknya merupakan satu keperluan pada masa hadapan.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Wavpay Group of Companies, Brahma Shakthi berkata, Wavpay menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan platform khusus bagi inisiatif-inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.
Jelasnya, Covid-19 telah mengubah landskap pengguna yang lebih cenderung untuk menggunakan platform digital.
"Kerjasama bersama MBI ini adalah untuk memusatkan seberapa banyak inisiatif kerajaan negeri melalui satu platform.
"Pengguna khususnya rakyat negeri Selangor lebih mudah untuk membuat rujukan dan pendaftaran melalui aplikasi Wavpay," katanya.
Tambahnya, Wavpay merancang memperluas perkhidmatan sama ke kerajaan negeri lain pada masa hadapan
Selain itu katanya, kajian dan penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengguna menikmati perkhidmatan yang kondusif dan cepat.