Agong berkenan menerima menghadap Presiden AFC

Iklan
Al-Sultan Abdullah pada Ahad berkenan menerima menghadap Shaikh Salman di Istana Negara. - Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad berkenan menerima menghadap Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, di Istana Negara.

Sesi menghadap bermula 2 petang itu disertai Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John.

Iklan
Iklan

Dalam sesi itu Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat mengenai pembinaan Stadium AFC berkapasiti 10,000 penonton bernilai AS$50 juta di Putrajaya dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai perkembangan semasa program-program dan aktiviti-aktiviti AFC dan FIFA di benua ini dan juga persiapan penganjuran Piala Dunia Qatar 2022.

Iklan

Qatar merupakan negara Islam dan negara Asia Barat pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA yang dijadual berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember antara lain menyaksikan penyertaan negara-negara benua Asia seperti tuan rumah, Qatar, Arab Saudi, Iran, Korea Selatan dan Jepun.

Kali terakhir Seri Paduka berkenan menerima menghadap Shaikh Salman di Istana Negara adalah sempena majlis penganugerahan ‘AFC Diamond of Asia’ pada 7 November 2019 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Al-Sultan Abdullah selama lebih tiga dekad terhadap sukan bola sepak di benua ini.

Iklan

Penglibatan aktif Seri Paduka dalam sukan bola sepak di peringkat domestik dan antarabangsa terserlah menerusi pengalaman baginda menerajui beberapa persatuan sebelum ini antaranya selaku Naib Presiden AFC, Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Al-Sultan Abdullah juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA mewakili Asia bagi penggal 2015-2019. - Bernama