PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia, memperagakan tunggangan cemerlang untuk mencerahkan peluang merangkul kejuaraan dunia MotoGP musim ini apabila menjuarai Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada Ahad.
Selaku pendahulu kelas perdana, pelumba Itali itu memulakan perlumbaan dari petak kesembilan dan mula mendahului saingan dengan baki enam pusingan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 40 minit 14.332 saat (s).
Pelumba senegara, Enea Bastianini (Gresini Racing) hanya ketinggalan 0.270s untuk menduduki tempat kedua diikuti, penyandang juara dunia, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha) dengan catan masa 40:17.105s.
Bagnaia akan dinobatkan selaku juara dunia buat kali pertama dalam kerjayanya jika dia berjaya menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat ke-13 atau lebih rendah pada perlumbaan kemuncak musim 2022 di GP Valencia, Sepanyol pada 16 November ini.
"Pertama sekali, saya ingin mengatakan bahawa saya melakukan permulaan terbaik dalam hidup saya kerana ia adalah sempurna. Saya mengambil sedikit risiko untuk berada di kelompok utama pada selekoh pertama.
Sebagai rekod, Pecco menamatkan saingan di tempat ke-12 pada edisi 2019 di sini, setahun selepas menjuarai kelas Moto2 dunia pada 2018 dengan tempat ketiga di Sepang.
Sementara itu, pelumba nombor dua dalam senarai kelas MotoGP musim ini, Quartararo berkata, beliau berasa bangga selepas kembali menaiki podium apabila menduduki tempat kedua pada GP Austria Ogos lalu.
"Saya memberi yang terbaik hari ini walaupun menyedari kehilangan masa apabila memulakan saingan di petak ke-12. Bagaimanapun, kami membawa penentuan perebutan gelaran juara dunia di Valencia walaupun peluang memintas Pecco adalah tipis," kata pelumba Perancis berusia 23 tahun itu.
Sementara itu, juara dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda) menduduki tempat ketujuh selepas mencatatkan masa 40:28.636s manakala pemenang petak utama, Jorge Martin (Prima Pramac) dari Sepanyol terbabas di pusingan ketujuh. - Bernama
Keputusan MotoGP GP Malaysia 2022
1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo Team 40:14.332s
2. Enea Bastianini (ITA) Gresini Racing MotoGP 40:14.602s
3. Fabio Quartararo (FRA) Monster Energy Yamaha MotoGP 40:17.105s
4. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Racing Team 40:19.778s
5. Alex Rins (SPA) Team SUZUKI ECSTAR 40:26.255s
6. Jack Miller (AUS) Ducati Lenovo Team 40:27.804s
7. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda Team 40:28.636s
8. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Factory Racing 40:31.137s
9. Johann Zarco (FRA) Prima Pramac Racing 40:32.690s
10. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing 40:35.923s
11. Franco Morbidelli (ITA) Monster Energy Yamaha MotoGP 40:37.567s
12. Cal Crutchlow (GBR) WithU Yamaha RNF MotoGP Tea 40:38.973s
13. Miguel Oliveira (POR) Red Bull KTM Factory Racing 40:39.250s
14. Pol Espargaro (SPA) Repsol Honda Team 40:39.918s
15. Raul Fernandez (SPA) Tech3 KTM Factory Racing 40:41.371s
16. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing 40:44.759s
17. Alex Marquez (SPA) LCR Honda CASTROL 40:47.654s
18. Remy Gardner (AUS) Tech3 KTM Factory Racing 40:48.023s
19. Joan Mir (SPA) Team SUZUKI ECSTAR 40:56.170s
Tidak Menamatkan Perlumbaan:
Darryn Binder (RSA) WithU Yamaha RNF MotoGP Tea 10 pusingan
Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Racing MotoGP 10 pusingan
Jorge Martin (SPA) Prima Pramac Racing 14 pusingan
Tetsuta Nagashima (JPN) LCR Honda IDEMITSU 16 pusingan
Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Racing Team 19 pusingan