SHAH ALAM - Gabungan pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai agama akan menghantar deklarasi membabitkan lapan perkara kepada semua ketua parti politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam satu kenyataan oleh 25 NGO itu, lapan perkara dalam deklarasi tersebut sangat penting kepada rakyat dan negara menjelang PRU15 nanti.
"Satu sidang media akan diadakan tiga hari sebelum hari mengundi untuk mengumumkan maklum balas daripada pemimpin-pemimpin tersebut.
"Kenyataan yang datang daripada gabungan agama pastinya akan menyebut keperluan untuk bertoleransi dan menghormati di antara penganut agama (dan kaum), terutamanya di tengah kempen politik yang hangat," kata kenyataan itu.
Lapan perkara dalam deklarasi tersebut adalah menyeru kepada pemimpin politik supaya menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, menuntut agar pemimpin politik memastikan konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dikekalkan dan diamalkan dengan setulusnya.
Selain itu, gabungan NGO itu turut menuntut agar berlaku pemisahan kuasa antara pendakwa raya negara dan peguam negara, menuntut semua institusi dan agensi semak imbang dan penguatkuasaan bebas, tegas dan berintegriti selain menyeru agar semua pihak menjunjung demokrasi yang matang serta memastikan pengundi diberi maklumat dan fakta yang secukupnya daripada semua pihak yang bertanding dalam PRU15.
Mereka turut mencadangkan supaya debat terbuka diadakan segera di antara calon-calon parti politik dan mengingatkan semua parti supaya berhati-hati memilih calon yang bakal bertanding.
Menurut kenyataan itu, deklarasi tersebut juga merujuk kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian hakiki negara dan hak semua rakyat, termasuk Orang Asli dan Orang Asal Sarawak dan Sabah.
"Parti politik dan calon-calon mesti melanggan konsep menyeluruh dan bukan semata-mata bersifat parokial atau serantau dalam komitmen mereka kepada negara," kata kenyataan itu.